Covid-19: Sudah tiba masa Malaysia 'menyerang'

Seorang kakitangan dari syarikat swasta menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di seluruh Surau Taman Setapak Jaya Jalan Tun Razak. - Foto Bernama
Seorang kakitangan dari syarikat swasta menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di seluruh Surau Taman Setapak Jaya Jalan Tun Razak. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Wabak pandemik koronavirus (Covid-19) yang mula dikesan pada pertengahan Disember tahun lalu di Wuhan, China kini menular secara global ke-201 negara dengan meragut nyawa 25,310 kes daripada 596,761 kes dijangkiti setakat 28 Mac 2020.

Amerika Syarikat mencatat jumlah tertinggi kes dijangkiti sebanyak 104,007 kes diikuti Itali sebanyak 86,498 kes dan China, 81,946 kes.

Malaysia merupakan negara tertinggi di Asia Tenggara dengan 2,470 kes melibatkan 34 kematian setakat semalam pada 29 Mac 2020.

Virus ini dipercayai menular seperti influenza melalui titisan pernafasan daripada batuk atau bersin namun Covid-19 dianggap paling mudah berjangkit apabila seseorang menerima tanda gejala walaupun penyebarannya tidak bergejala.

Gejala umum termasuk demam, batuk dan sesak nafas serta komplikasi mungkin berlaku seperti radang paru-paru dan sindrom kesukaran pernafasan akut.

Pada masa ini tiada vaksin atau rawatan antiviral tertentu maka langkah pencegahan disyorkan dan mengekang penularan melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti di negara ini dan perintah berkurung di beberapa negara lain.

Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, jumlah kes di Malaysia masih belum mencapai tahap dikehendaki malah dijangka akan berterusan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Beliau berkata, jumlah kes terbaharu akan turut dipengaruhi oleh kes membabitkan individu yang dibawa pulang ke negara ini dari negara berisiko.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut kepada laporan sidang media oleh Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) setiap petang itu, keadaan belum sampai pada tahap yang kita mahu.

"Angka (jumlah kes) ini masih belum lagi membantu kita untuk berehat. Saya rasa angka sebegini akan berterusan, kita kena tunggu sekurang-kurangnya mungkin dua minggu lagi.

"Kita sudah masuk minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepatutnya kalau berkesan, kita boleh lihat pada Isnin atau Selasa ini," katanya kepada Sinar Harian.

Sehubungan itu beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan melakukan serangan dari semua sudut bagi memenangi peperangan melawan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, Malaysia yang kini dalam situasi bertahan sepanjang tempoh fasa pertama PKP perlu mengorak langkah lebih drastik.

Dr Sazaly berkata, tempoh lanjutan PKP sehingga 14 April merupakan masa terbaik bagi melakukan tindakan pengesanan awal dari rumah ke rumah menggunakan Rapid Test Kit (RTK).

"Dalam peperangan ini, kita sudah mengambil langkah bertahan dengan mengarahkan semua orang duduk diam di rumah. Kita hanya menjadi sasaran.

"Jadi kalau kita hendak memenangi peperangan ini, kita kena menyerang. Pertahanan sudah ada.

"Kita tukar teknik lebih agresif menyerang termasuk membebaskan satu kawasan demi satu kawasan. Kawasan hijau dilindungi dan kawasan merah dibersihkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengulangi saranannya sebelum ini agar kerajaan menggunakan RTK untuk pengesanan awal, walaupun terdapat beberapa pihak yang tidak bersetuju dengan cara tersebut.

Menurutnya, meskipun ujian RTK tidak sempurna namun ia tetap boleh digunakan bak kata pepatah Melayu 'jka tiada rotan, akar pun berguna juga'.

"Berperang tidak semestinya menggunakan senjata canggih sahaja.

"Ujian makmal yang kita sedang gunakan sekarang ini mengambil masa yang lama (keputusan). Ada 8,000 lebih lagi sampel yang masih pending.

"Pada masa darurat sekarang ini, tidak perlu guna kaedah paling optimum tetapi kaedah memadai. Tidak perlu tunggu sampai ada ujian paling tersempurna," katanya.

Selain pengesanan awal dari rumah ke rumah, Dr Sazaly berkata, ujian RTK perlu diperluaskan ke atas setiap pemandu dan penumpang di semua lokasi sekatan jalan raya.

Menurutnya, membiarkan individu yang berjangkit berada di luar akan merumitkan usaha mengekang penularan Covid-19.

"Tidak ada masa lagi, tahan setiap kenderaan dan cucuk jari mereka (ujian RTK).

"Perintah berkurung tidak memadai mengarahkan mereka duduk di rumah sebaliknya kita perlu mencari siapa yang membawa virus ini," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, tiada kajian mengenai faktor yang menyebabkan Malaysia mencatat jumlah kes Covid-19 tertinggi di Asia tenggara.

Namun demikian menurutnya, pergerakan masyarakat di negara ini lebih tinggi berbanding negara lain boleh menjadi faktor kepada perkara tersebut.

"Sistem pengangkutan, jalan raya, komunikasi kita bagus dan penggunaan kenderaan yang banyak. Cara hidup masyarakat kita berkelompok tinggi selain pergaulan sosial yang banyak bersentuhan dengan keluarga yang ramai.

"Tahap kesedaran masyarakat terhadap virus Covid-19 juga masih rendah," katanya.