X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu mekanisme berkesan penuhi objektif pakej Prihatin

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diharap mewujudkan mekanisme berkesan bagi melaksanakan subsidi gaji pekerja swasta sebanyak RM600 bagi tempoh tiga bulan sebagaimana diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) semalam.

Profesor Adjung Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Selangor (Unisel), Prof Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, tanpa data dalam bentuk digital lengkap, pelaksanaan tapisan bagi majikan yang layak menerima subsidi itu adalah menjadi sangat sukar.

Menurutnya, cadangan laporan kewangan syarikat yang dihantar ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mungkin boleh dijadikan panduan, namun banyak syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) langsung tidak menghantarnya.

"Subsidi RM600 setiap bagi tempoh tiga bulan sebagai gaji pekerja swasta bergaji RM4,000 ke bawah yang mana prestasi syarikatnya menurun lebih daripada 50 peratus adalah langkah bertepatan dengan cadangan banyak pihak untuk membantu syarikat PKS, khususnya yang menunjukkan penurunan ketara akibat koronavirus (Covid-19).

"Ia bakal membantu syarikat PKS terbabit untuk terus hidup tanpa perlu membuang pekerja atau mengurangkan gaji, namun saya berharap kerajaan sudah mempunyai mekanisme bagi melaksanakan tapisan bagi syarikat layak," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan Program Subsidi Upah itu dikhususkan kepada pekerja dengan gaji bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50 peratus, sejak 1 Januari lalu.

Menurutnya, langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion.

Zaharuddin berkata, beliau turut menyifatkan keperluan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi akaun kedua hanya lebih sesuai dilaksanakan sekiranya wabak pandemik Covid-19 berpanjangan lebih daripada bulan April.

Menurutnya, ini disebabkan simpanan rakyat Malaysia berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) adalah masih tidak begitu tinggi dengan lebih 50 peratus daripadanya kurang daripada jumlah RM250,000.

"Keputusan membenarkan wang simpanan itu dikeluarkan sekarang mungkin akan lebih membebankan mereka pada masa hadapan," katanya.

Bagaimanapun, Zaharuddin berpandangan, tawaran dan bantuan berjumlah RM250 bilion adalah baik dan wajar serta bersesuaian dengan tahap keseriusan bencana dibawa Covid-19 secara umum.

Menurutnya, nilai keseluruhan pakej rangsangan Prihatin berjumlah 17 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi daripada Amerika Syarikat yang hanya memperuntukkan tujuh peratus daripada KDNK mereka membuktikan kerajaan lebih bersungguh-sungguh dan rela memberikan sebaiknya demi kebaikan negara.

"Ini adalah wajar dan benar kerana impak Covid-19 menyebabkan pertumbuhan KDNK negara menyusut lebih tiga peratus dengan sejuta rakyat hilang pekerjaan.

"Nilai mata wang Ringgit Malaysia sudah jatuh lebih sembilan peratus, nilai pasaran saham negara (FBM KCI) jatuh 20 peratus, pendapatan isi rumah turut menurun 12 peratus manakala hasil jualan PKS jatuh lebih 80 peratus.

"Justeru kebersediaan kerajaan menyuntik pakej rangsangan yang melibatkan nilai besar menunjukkan tahap keseriusan tinggi bagi menangani masalah kegawatan ekonomi diakibatkan Covid-19," katanya.

Zaharuddin turut berharap Tabung Special Relief Facility untuk PKS sebanyak RM3 bilion sepatutnya mampu memberikan pinjaman tanpa faedah sehingga RM300,000 buat syarikat pemula (start-up) dan IKS yang terjejas teruk akibat Covid-19.

"Memang ada disebutkan disediakan pembiayaan sehingga RM300,000 tetapi tidak jelas sama ada ia dengan kadar 3.5 peratus atau mempunyai kadar lain," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus