Kastam catat kutipan hasil RM73.27 bilion

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melepasi sasaran kutipan hasil negara bagi tahun 2025 apabila merekodkan kutipan sebanyak RM73.27 bilion setakat 16 Disember 2025.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pencapaian itu bukan sahaja mengatasi sasaran awal berjumlah RM67.25 bilion, malah turut melepasi unjuran semakan semula RM73.26 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.
Menurut beliau, unjuran hasil semakan semula tersebut ditetapkan pada 10 Oktober 2025 menerusi Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026.
"Sehingga 16 Disember 2025, JKDM berjaya merekodkan kutipan hasil sebanyak RM73.27 bilion, sekali gus mencatat lebihan RM6.02 bilion atau 108.95 peratus berbanding sasaran awal,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Anis Rizana berkata, pencapaian itu membuktikan keupayaan JKDM melaksanakan tanggungjawab mengutip hasil negara secara berkesan, selari dengan keperluan fiskal semasa.
"JKDM akan terus komited meningkatkan kutipan hasil secara berterusan bagi menyokong agenda Malaysia Madani serta menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan negara.
"JKDM turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kewangan, agensi penguat kuasa serta rakan strategik media atas sokongan dan kerjasama berterusan dalam memastikan kelancaran kutipan hasil negara,” katanya.
Ringkasan AI
- Kastam melepasi sasaran kutipan hasil negara bagi tahun 2025 dengan kutipan RM73.27 bilion
- Pencapaian ini mengatasi sasaran awal RM67.25 bilion dan unjuran semakan semula RM73.26 bilion
- Unjuran hasil semakan semula ditetapkan pada 10 Oktober 2025
- Kastam mencatat lebihan RM6.02 bilion atau 108.95 peratus berbanding sasaran awal
- Pencapaian membuktikan keupayaan JKDM mengutip hasil negara secara berkesan dan komited meningkatkan kutipan hasil untuk menyokong agenda Malaysia Madani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

