Pengerusi PN hanya layak untuk individu berjawatan presiden parti

Kamarudin Md Nor.
Kamarudin Md Nor.
A
A
A

KOTA BHARU – Kedudukan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) perlu setaraf atau sekurang-kurangnya lebih tinggi daripada jawatan presiden parti-parti komponen, sebagaimana yang ditafsirkan melalui Perlembagaan gabungan itu.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, walaupun peruntukan tersebut tidak dinyatakan secara jelas, tafsiran terhadap perlembagaan gabungan berkenaan menunjukkan jawatan Pengerusi PN tidak boleh dipegang oleh individu yang kedudukannya lebih rendah daripada presiden parti komponen.

“Jika Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu, mahu menjadi Pengerusi PN, beliau perlu menjadi Presiden Pas terlebih dahulu. Ketika ini beliau hanyalah Naib Presiden Pas.

“Mana mungkin seorang naib presiden parti memegang jawatan tertinggi dalam gabungan politik yang dianggotai oleh parti-parti yang dipimpin oleh presiden masing-masing.

“Mana lebih tinggi, Presiden atau Naib Presiden? Bagaimana seorang Naib Presiden boleh menjadi Pengerusi PN, sedangkan jawatan itu jauh lebih tinggi daripada Presiden parti komponen?” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, timbul desas-desus mengatakan Naib Presiden Pas itu bakal dilantik sebagai Pengerusi PN bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan tersebut baru-baru ini.

Perkara itu tercetus selepas Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, memuat naik gambar pertemuan antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri yang disertai kapsyen ringkas sehingga mencuri perhatian pada Selasa.

Sinar Harian pada 30 Disember lalu melaporkan Muhyiddin, yang juga Pengerusi Bersatu, mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.

Peletakan jawatan itu disahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sokongan kepada saya sepanjang tempoh saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kedudukan Pengerusi Perikatan Nasional mesti setaraf atau lebih tinggi daripada presiden parti komponen
  • Pengerusi Bersatu Kelantan menyatakan jawatan Pengerusi PN tidak boleh dipegang oleh individu dengan kedudukan lebih rendah dalam parti komponen
  • Ahmad Samsuri, Naib Presiden Pas, perlu menjadi Presiden Pas sebelum boleh menjadi Pengerusi PN
  • Timbul desas-desus mengenai kemungkinan pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN menggantikan Muhyiddin Yassin
  • Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!