Tiada kemelut PN di Terengganu, kepimpinan negeri kekal sokong Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU – Gabungan Perikatan Nasional (PN) Terengganu kekal stabil dan tidak berdepan sebarang kemelut kepimpinan di peringkat negeri walaupun berlaku perubahan politik melibatkan kepimpinan di peringkat pusat.
Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, struktur kepimpinan PN di Terengganu kekal kukuh di bawah pimpinan Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Menurutnya, peletakan jawatan beberapa pemimpin utama PN di peringkat pusat termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN tidak memberi sebarang kesan kepada kestabilan dan hubungan kepimpinan PN di Terengganu.
"Pengerusi PN di Terengganu ialah Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan beliau kekal menerajui gabungan ini.
"Bersatu Terengganu memberikan sokongan penuh kepada beliau dan hubungan dalam kalangan rakan gabungan PN di peringkat negeri berjalan seperti biasa," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Rabu.
Jelas Razali, dakwaan wujud krisis atau kemelut dalaman PN di Terengganu adalah tidak berasas kerana hubungan antara Pas dan Bersatu di negeri ini kekal harmoni serta saling bekerjasama dalam pentadbiran kerajaan negeri.
"Tiada kemelut kepimpinan antara Bersatu dan Pas di Terengganu. PN negeri masih stabil dan bergerak seiring di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri," katanya.
Mengulas berhubung peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN yang berkuat kuasa pada Khamis, Razali menjelaskan perkara itu tidak menjejaskan peranan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu.
Jelas beliau, perkembangan tersebut tidak menjejaskan kestabilan politik di Terengganu malah PN negeri akan terus memberi tumpuan kepada agenda pentadbiran dan kebajikan rakyat di bawah kepimpinan Dr Ahmad Samsuri.
"Bersatu Terengganu berharap Muhyiddin terus memimpin parti itu demi memperkukuhkan kedudukan Bersatu di peringkat nasional.
"Kami berharap Tan Sri Muhyiddin terus menerajui Bersatu walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam gabungan PN," ujarnya.
Sebelum ini, beberapa pemimpin utama PN termasuk Muhyiddin meletak jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Ia diikuti empat lagi pimpinan utama Bersatu iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor) dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Setiausaha Agung PN merangkap Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor).
Selain itu, turut mengambil langkah serupa ialah Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Pengerusi PN Perak) dan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Mohamad Hanifah Abu Baker (Pengerusi PN Negeri Sembilan).
Ringkasan AI
- Perikatan Nasional (PN) Terengganu kekal stabil dan tidak berdepan kemelut kepimpinan walaupun ada perubahan di peringkat pusat
- Kepimpinan PN di Terengganu dipimpin oleh Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
- Peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN tidak memberi kesan kepada kestabilan PN di Terengganu
- Hubungan antara Pas dan Bersatu di Terengganu kekal harmoni dan bekerjasama dalam pentadbiran negeri
- Perletakan jawatan beberapa pemimpin utama PN tidak menjejaskan Peranan Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan kestabilan politik di Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
