Jemaah tabligh diuji

A
A
A

SEJAK seorang pengikut tabligh disahkan positif koronavirus (Covid-19) hingga menyebabkan kematian, media massa dan media sosial kerap menyiarkan laporan berkaitan kenyataan dan rayuan agar jemaah tabligh yang terlibat tampil menjalani ujian saringan.

Seperti biasa, ramailah wira papan kekunci membuat kecaman secara berjemaah, lebih-lebih lagi dengan begitu banyak masa setelah perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan.

Memburukkan lagi keadaan, tular pula satu video yang memaparkan seseorang yang berjanggut dan berjubah, antara lain, membuat kenyataan berbunyi 'jangan takut virus tapi takut ALLAH'. Ia menambah buruk kutukan terhadap golongan tabligh.

Tidak dinafikan saya sendiri berasa gerun apabila bertembung dengan seorang jemaah tabligh baru-baru ini; kebetulan pula pada hari pertama perintah kawalan pergerakan. Ia seolah-olah semua yang berjanggut dan berjubah membawa virus Covid-19 bersama mereka. Rasa bersalah pula apabila saya berperasaan sedemikian.

Walaupun banyak laporan mengatakan seramai 16,000 telah menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling dari 28 Februari hingga 1 Mac, data rasmi Masjid Sri Petaling menunjukkan lebih kurang 12,500 orang yang hadir termasuk 1,600 tetamu dan peserta luar negara.

Ahli Mesyuarat Markaz Dakwah Tabligh Malaysia, Abdullah Cheong dalam satu kenyataan berkata, ini bermakna kehadiran peserta tempatan adalah sekitar 11,000 orang. Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta ijtimak tempatan sudahpun disaring dan ini bermaksud hanya lebih kurang 500 yang belum disaring.

Ada segelintir yang tidak patuh.Yang penting, usah terus-menerus menyalahkan mana-mana pihak. Tiada siapa mahu perkara ini berlaku. Tambahan pula, ijtimak terbabit diadakan sebelum WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik. Jangan lupa, telah berlangsung juga perlawanan bola sepak Piala Sumbangsih antara Johor dan Kedah dengan kehadiran lebih 20,000 penonton.

Artikel Berkaitan:

Saya pernah berdampingan dengan jemaah tabligh. Salah seorangnya ialah penyelia utama saya bagi penyelidikan Sarjana dan Doktor Falsafah. Beliau pakar dalam bidang pengimejan kraniofasial; seorang profesor yang sangat tawaduk, menurut pandangan saya. Kami pernah pergi menghadiri mesyuarat di UTM Johor dengan menaiki bas ekspres. Sementara menunggu waktu mesyuarat, kami merehatkan diri di Masjid UTM.

Semasa ke Bangkok, Thailand selama seminggu atas urusan kerja di Universiti Chulalongkorn, hotel yang kami tinggal berdekatan dengan masjid supaya senang untuk solat Subuh berjemaah.

Beliau akan sedaya upaya cuba mengekalkan solat berjemaah walau di mana beliau berada. Selain beliau, ramai lagi golongan profesional yang saya kenal terlibat dengan jemaah tabligh. Ada yang merupakan pakar perubatan, pakar kejuruteraan, tidak kurang ahli perniagaan yang berjaya. Mereka ialah orang yang baik-baik atau sedang dalam proses menjadi baik.

Mungkin ramai yang mengenali Ustaz Ebit Lew, seorang pendakwah bebas berketurunan Cina, seperti saya. Ketika ramai orang menghina golongan pondan atau mak nyah, beliau tetap menyebarkan kasih sayang dan menyampaikan dakwah kepada golongan ini. Jika kita tidak mampu untuk melakukan kerja dakwah sebagaimana golongan tabligh, jangan pula kita kecam mereka apatah lagi ketika wabak sedang melanda seperti sekarang ini.

Saya berharap jemaah tabligh tabah dengan ujian ini. Ada yang diuji berat dengan dijangkiti virus Covid-19 sehingga ada yang meninggal dunia. Yang tidak dijangkiti pula tetap diuji dengan kecaman dan tohmahan masyarakat. Semoga kadar penularan Covid-19 menurun dan terus menghilang.

Setakat 19 Mac sekitar 10,500 peserta ijtimak tempatan sudahpun disaring bermaksud hanya lebih kurang 500 yang belum disaring. Segelintir yang tidak patuh.”

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.