Video tular rompakan masjid bukan di Kota Setar – Polis

ALOR SETAR – Polis Daerah Kota Setar menafikan dakwaan bahawa kejadian seorang lelaki dipukul beberapa individu seperti yang tular dalam sebuah video pendek berlaku di sebuah masjid di Kuala Kedah di sini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, satu video berdurasi kira-kira 20 saat telah dikesan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Info Terkini 2026 dengan tajuk 'kes rompakan di Masjid Kuala Kedah'.
Menurutnya, hasil semakan dan penelitian lanjut mendapati tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian tersebut di mana-mana lokasi dalam daerah ini termasuk di masjid Kuala Kedah.
“Polis ingin menegaskan bahawa kejadian seperti yang dipaparkan dalam video tular itu tidak berlaku di daerah Kota Setar,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahmad.
Tambah beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, perbuatan menyebarkan kandungan yang tidak tepat boleh menjejaskan ketenteraman awam dan menimbulkan suasana panik.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat sebenar berkaitan kejadian dalam video berkenaan agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di talian 04-774 7222.
Ringkasan AI
- Polis Daerah Kota Setar menafikan dakwaan kejadian dipukul berlaku di masjid Kuala Kedah
- Satu video berdurasi 20 saat tentang dugaan rompakan di Masjid Kuala Kedah tular di Facebook
- Tiada laporan polis diterima berkenaan kejadian tersebut di daerah Kota Setar
- Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih untuk elak kekeliruan
- Masyarakat diminta memberikan maklumat sebenar kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar jika ada maklumat berkaitan kejadian dalam video
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

