Polis pantau rapi pergerakan ajaran sesat, cegah ancaman keselamatan negara

GEORGE TOWN - Polis akan terus memantau secara rapi pergerakan kumpulan ajaran sesat di negara ini bagi memastikan ia tidak melangkaui garisan keselamatan sehingga boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, walaupun isu ajaran sesat berada di bawah bidang kuasa jabatan dan agensi agama, namun pihak polis tetap memainkan peranan pemantauan sebagai langkah pencegahan awal.
Menurutnya, sejarah membuktikan fahaman sesat berpotensi berkembang menjadi gerakan ekstrem dan militan serta akhirnya terlibat dalam aktiviti keganasan sekiranya tidak dikawal sejak awal.
"Biasanya ia bermula dengan ajaran sesat dan boleh berkembang kepada keganasan serta militan termasuk merancang serangan dan pembunuhan. Sebab itu kita perlu pantau dari awal.
"Kalau mereka melintasi garisan keselamatan dan mula merancang serangan atau ancaman terhadap nyawa, pihak polis akan mengambil tindakan tegas. Kita tidak boleh tunggu sehingga kejadian berlaku baru bertindak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program PDRM Penang International 2nd Bridge Solidarity Fun Ride 2026 di sini pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail.
Dalam pada itu, Ayob Khan menjelaskan, kebanyakan kumpulan ajaran sesat yang dipantau berada dalam negara walaupun ada ideologi yang dipengaruhi fahaman luar.
Sebelum ini, polis mengenal pasti sebanyak 14 ajaran sesat yang masih aktif di negara ini dan kesemuanya berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa.
Ayob sebelum ini berkata, sebanyak 154 ajaran difatwa sebagai sesat sejak 1950 hingga kini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 114 ajaran sesat yang dikenal pasti serta diberi tumpuan oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Ajaran sesat antara ancaman terhadap keselamatan negara, selain isu rasuah membabitkan penjawat awam.
"Sebanyak 14 ajaran sesat dikesan masih aktif, manakala lapan dalam pemantauan pihak berkuasa.
"Antaranya Perjalanan Mimpi Yang Terakhir, Dewan Perkasa Ekonomi Islam, Millah Abraham, Nur Mutiara Mutmainnah, The Ahmadi Religion of Peace and Light," katanya
Ringkasan AI
- Polis akan terus memantau pergerakan kumpulan ajaran sesat di negara ini untuk memastikan keselamatan awam tidak terancam
- Walaupun isu ajaran sesat berada di bawah bidang kuasa jabatan agama, polis tetap memainkan peranan pemantauan sebagai langkah pencegahan
- Sejarah membuktikan fahaman sesat berpotensi berkembang menjadi gerakan ekstrem dan militan serta terlibat dalam aktiviti keganasan
- Pihak polis akan mengambil tindakan tegas jika kumpulan ajaran sesat melintasi garisan keselamatan dan merancang serangan atau ancaman
- Sebanyak 14 ajaran sesat masih aktif di Malaysia dan berada dalam pemantauan rapi pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

