[VIDEO] Dr Akmal mahu UMNO, Pas bersatu

A
A
A

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan hasrat agar UMNO dan Pas dapat bersatu demi membentuk penyatuan orang Melayu.

Beliau menyuarakan pandangan itu ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.

Ujarnya, penyatuan itu penting bagi memastikan kekuatan politik Melayu terus terpelihara dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.

Menurut beliau, sudah tiba masanya dua parti terbesar Melayu tersebut mengetepikan perbezaan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Kita akui selama ini ada bertikam lidah, ada perselisihan, ada merajuk, marah dan bergaduh.

Dr Muhamad Akmal (tengah) hadir pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan pada Sabtu.
Dr Muhamad Akmal (tengah) hadir pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan pada Sabtu.

"Sudah tiba masanya kita kembali bertaut dan menyuburkan jiwa besar demi mengembalikan kepentingan nasional,” katanya.

Konvensyen bertemakan 'Hala tuju UMNO dalam kerajaan Perpaduan' dihadiri seramai 1,800 ahli itu turut menyuarakan pandangan dan isi hati secara terbuka serta berani dengan menilai semula kedudukan parti dalam kerajaan kini.

Artikel Berkaitan:

Kata Dr Muhamad Akmal, UMNO khususnya sayap Pemuda dan seluruh barisan kepimpinan parti bersedia menjadi wadah penyatuan orang Melayu atas tanggungjawab mempertahankan agama, bangsa serta tanah air.

Tambahnya, usaha penyatuan tersebut bukan bersandarkan nostalgia atau romantisme sejarah semata-mata, sebaliknya merupakan keperluan mendesak demi kelangsungan hidup orang Melayu.

“Ini bukan soal nostalgia atau romantisme sejarah, tetapi soal survival orang Melayu.

"Saya menyeru pimpinan untuk menutup cerita lama. Jika ada yang terasa, tutuplah cerita lama itu, buka lembaran baharu.

“Kita belajar daripada kesan perpecahan dahulu apabila orang kita semakin berani dihina dan isu-isu sensitif semakin dibicarakan secara terbuka seolah-olah orang Melayu tidak lagi wujud di negara ini,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa akar umbi sebenarnya tidak mempunyai masalah besar untuk bersatu, sebaliknya perpecahan sering berpunca daripada kegagalan kepimpinan untuk berlapang dada.

“Saya menyeru pimpinan parti saya sendiri dan parti-parti lain, cukuplah.

"Agama dan bangsa kita memerlukan kita hari ini. Lapangkan dada dan saling memaafkan. Saya tidak sanggup melihat orang Melayu terus terhina di tanah air sendiri,” kata beliau.

Ringkasan AI

  • Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengharapkan UMNO dan Pas bersatu
  • Ini untuk membentuk penyatuan orang Melayu
  • Beliau menyatakan pandangan itu pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO
  • Konvensyen berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
  • Penyatuan penting untuk memastikan kekuatan politik Melayu terpelihara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!