Perhimpunan Agung PBB pilih bekas Presiden Iraq sebagai Pesuruhjaya Tinggi UNHCR

HAMILTON - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memilih bekas Presiden Iraq, Barham Ahmed Salih sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang baharu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pelantikan itu menjadikan Salih sebagai individu pertama dari Asia Barat menerajui jawatan berkenaan dalam tempoh hampir tiga perempat abad, dengan tempoh perkhidmatannya bermula 1 Januari 2026 selama lima tahun.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengalu-alukan pemilihan Salih dan "menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan” kepada Pesuruhjaya Tinggi UNHCR yang akan tamat tempoh perkhidmatannya, Filippo Grandi, atas "kepimpinan serta usaha gigih beliau dalam melindungi pelarian, individu terpaksa berpindah dan golongan tanpa kewarganegaraan.”
Dengan merujuk kepada peranan politik dan diplomatik Salih sebelum ini, kenyataan itu turut menyebut: "Beliau memainkan peranan penting dalam pembinaan semula Iraq pasca-2003 dan pemulihan ekonominya, termasuk rundingan Perjanjian Antarabangsa bagi Iraq bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Bank Dunia.”
Grandi turut mengalu-alukan pemilihan Salih, sambil menyatakan beliau "membawa pengalaman puluhan tahun dalam perkhidmatan awam peringkat tinggi, yang dicirikan oleh kepimpinan berterusan dan diplomasi berhemah.”
"Berasal dari sebuah negara yang baru-baru ini dilanda konflik, penindasan dan perpindahan penduduk, beliau mempunyai pengalaman langsung terhadap cabaran yang dihadapi ramai pelarian hari ini.
"Latar belakang dan pengalaman beliau menjadikannya individu yang sesuai untuk menerajui UNHCR pada ketika berlakunya perpindahan berskala besar serta cabaran kemanusiaan dan politik yang semakin kompleks,” katanya. - Bernama-Anadolu
Ringkasan AI
- Barham Ahmed Salih dipilih sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian
- Salih merupakan orang pertama dari Asia Barat yang memegang jawatan ini dalam hampir 75 tahun
- Antonio Guterres mengalu-alukan pemilihan Salih dan mengucap penghargaan kepada Filippo Grandi
- Salih memainkan peranan penting dalam pembinaan semula dan pemulihan ekonomi Iraq pasca-2003
- Pengalaman Salih dalam menangani konflik, penindasan, dan perpindahan penduduk menjadikannya sesuai untuk menerajui UNHCR
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
