Bomba Perak giat nyah cemar tempat awam

Proses nyah cemar turut dilakukan bomba di mesin ATM.
Proses nyah cemar turut dilakukan bomba di mesin ATM.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak mempergiatkan proses sanitasi atau nyah cemar di beberapa lokasi awam terutama daerah Kinta dan Hilir Perak bermula hari ini.

Pengarahnya, Azmi Osman berkata, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) berkolaborasi dengan pihak berkuasa tempatan melakukan nyah cemar dengan menggunakan teknik semburan pada permukaan atau objek yang berpotensi menyebabkan penyebaran wabak koronavirus (Covid-19).

"Antaranya di platform dan kawasan sekitar Stesen Keretapi Ipoh, Stesen Bas Ekpres Sri Maju, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Tapah, semua pusat pengeluaran wang automatik (ATM) serta hentian bas.

"Jabatan bomba menyusun pelbagai perancangan sehingga 14 April ini untuk terus melakukan nyah cemar di beberapa lokasi awam. Esok, proses sanitasi akan difokuskan di kawasan Zon Merah di Ipoh dan sekitar Balai Bomba Teluk Intan," katanya.

Menurutnya, bomba sedia menerima permintaan untuk lakukan nyah cemar di masjid dan surau yang pernah menerima kehadiran kluster perhimpunan tabligh.

Bomba melakukan proses nyah cemar di hentian bas sekitar Ipoh.
Bomba melakukan proses nyah cemar di hentian bas sekitar Ipoh.

"Kita mohon pengurusan masjid dan surau yang pernah menerima kehadiran peserta tabligh boleh menghubungi balai bomba berdekatan, sekiranya belum menjalani proses tersebut.

"Walaupun kita jalankan nyah cemar, masyarakat perlu mendengar arahan kerajaan dengan memakai topeng muka, cecair pembersih tangan dan mengamalkan jarak sosial 1 meter," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Azmi berkata, Hazmat turut menjalankan tugas khas memindahkan pesakit Covid-19 berstatus dalam pengawasan (PUS) ke stesen kuarantin di Institut Latihan Perangkaan Malaysia di Sungkai hari ini.

"Pasukan itu ditugaskan membawa 17 pesakit dari Hospital Teluk Intan untuk dikuarantin selama seminggu dengan menaiki bas milik jabatan hari.

“Peringkat kedua pula melibatkan kira-kira 60 pesakit yang dilakukan secara berperingkat, esok,” katanya.