Ritual agama lain, apa batasnya buat Muslim?

RITUAL agama selain Islam sememangnya tidak dibenarkan untuk diamalkan termasuk yoga yang mencampurkan elemen syirik kepada ALLAH SWT.
RITUAL agama selain Islam sememangnya tidak dibenarkan untuk diamalkan termasuk yoga yang mencampurkan elemen syirik kepada ALLAH SWT.
A
A
A

TULAR satu rakaman video seorang Muslim menyertai ritual keagamaan bukan Islam baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi masyarakat awam terutamanya Muslim.

Ada yang bimbang tentang akidah, mempersoalkan perlakuan tersebut dan tidak kurang juga ada yang terus membuat tuduhan terhadap individu berkenaan.

Kebimbangan masyarakat boleh difahami kerana akidah merupakan asas kehidupan seorang Muslim, namun rakaman yang tular belum tentu menggambarkan keseluruhan kejadian.

Selagi fakta belum dipastikan, masyarakat wajar memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Batas hormat agama lain

Malaysia mempunyai masyarakat yang berbeza agama dan budaya. Kita hidup berjiran, bekerja bersama dan saling menghadiri pelbagai majlis.

Hubungan ini memerlukan sikap saling menghormati, namun setiap agama mempunyai batas kepercayaannya sendiri.

Bagi umat Islam, menghadiri majlis sosial yang dibenarkan oleh syarak berbeza daripada menyertai ritual penyembahan. Melafazkan mantera, melakukan pemujaan atau mengikuti upacara ibadah agama lain mempunyai makna keagamaan yang perlu difahami sebelum seseorang mengambil bahagian.

Perkara ini berasaskan firman ALLAH SWT: “Katakanlah sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk ALLAH, Tuhan sekalian alam.” (Surah al-An’am: 162)

Artikel Berkaitan:

Ayat ini menjelaskan bahawa pengabdian seorang Muslim hanya ditujukan kepada ALLAH SWT. Justeru, menghormati penganut agama lain tidak menuntut seseorang menyertai ibadah mereka. Hubungan baik tetap boleh dijaga tanpa mengorbankan pegangan sendiri.

PADA zaman ini, kemahiran menyunting video boleh disalahgunakan untuk tujuan salah.
PADA zaman ini, kemahiran menyunting video boleh disalahgunakan untuk tujuan salah.

Jangan terlalu cepat menghukum

Di sebalik isu ritual tersebut, ada satu lagi perkara yang wajar direnungkan. Media sosial semakin memudahkan masyarakat membuat kesimpulan sebelum mengetahui cerita sebenar.

Rakaman pendek tersebar dalam beberapa minit. Namun pelbagai andaian muncul, kemudian tuduhan yang diulang berkali-kali mula dianggap sebagai fakta. Akhirnya, seseorang mungkin menerima kecaman sebelum siasatan selesai. Islam sudah memberikan panduan dalam menghadapi keadaan ini.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang yang beriman, jika seorang fasik membawa sesuatu berita kepada kamu, maka selidikilah kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan keburukan kepada sesuatu kaum kerana tidak mengetahui perkara sebenar, lalu menyesal atas perbuatan kamu.” (Surah al-Hujurat: 6)

Peringatan ini sangat dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini. Sebelum berkongsi rakaman atau menuduh seseorang, kesahihan maklumat perlu dipastikan. Kesilapan membuat tuduhan boleh menjejaskan maruah, keluarga dan kehidupan individu yang terlibat.

Dalam persoalan akidah, hukum terhadap sesuatu perbuatan juga perlu dibezakan daripada penentuan hukum terhadap individu.

Sesuatu amalan mungkin jelas bercanggah dengan syarak, namun menentukan kedudukan agama seseorang memerlukan penelitian terhadap perbuatan sebenar, kefahaman dan keadaan yang berkaitan.

Tradisi Ahli Sunnah Waljamaah sangat berhati-hati dalam menjatuhkan tuduhan kufur atau murtad. Ketelitian ini menjaga keadilan tanpa meremehkan hukum agama.

Akidah dipelihara, hubungan masyarakat dijaga

Isu ini turut mengingatkan kita bahawa kehidupan masyarakat majmuk memerlukan kefahaman agama yang jelas.

Kekeliruan antara adat, budaya dan ritual penyembahan boleh menjejaskan pegangan seseorang, khususnya generasi muda yang semakin terdedah kepada pelbagai kegiatan sosial.

Pada masa yang sama, kecaman berlebihan boleh mengeruhkan hubungan masyarakat. Penghinaan terhadap individu atau kepercayaan agama lain mudah mencetuskan rasa tersinggung dan permusuhan.

Dalam pemikiran Islam, kedua-dua tanggungjawab ini berkait dengan tadayyun iaitu menjaga kehidupan beragama dan ‘umran yang menyentuh kesejahteraan hidup bermasyarakat.

SELIDIKILAH rakaman video yang tular terlebih dahulu.
SELIDIKILAH rakaman video yang tular terlebih dahulu.

Menjaga agama menuntut umat Islam memahami tauhid dan batas ibadah. Kehidupan bermasyarakat pula memerlukan keadilan, penghormatan terhadap maruah manusia dan hubungan baik antara penganut agama.

ALLAH SWT berfirman: “Dan janganlah kamu mencerca sembahan yang mereka seru selain ALLAH kerana mereka nanti akan mencerca ALLAH secara melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah al-An’am: 108)

Ayat ini mengajar umat Islam supaya menjaga tutur kata ketika berhadapan dengan perbezaan kepercayaan. Ketegasan mempertahankan akidah perlu disertai adab agar perbezaan agama tidak menjadi punca permusuhan.

Sehubungan itu, pendidikan akidah perlu lebih dekat dengan kehidupan masyarakat. Umat Islam wajar memahami perbezaan antara majlis kebudayaan, kegiatan sosial dan ritual keagamaan.

Jika timbul keraguan, dapatkan pandangan jabatan mufti atau pihak berkuasa agama sebelum menyertai sesuatu amalan.

Berhubung video yang sedang tular, biarlah pihak berkuasa menyelesaikan siasatan berdasarkan fakta. Masyarakat pula boleh mengambil pengajaran dengan memperkukuh kefahaman agama dan mengelakkan tuduhan yang belum terbukti.

Akhirnya, keteguhan akidah dapat dilihat melalui kefahaman dan amalan yang benar. Kita perlu jelas tentang batas ibadah, berlaku adil ketika menilai seseorang dan terus menghormati penganut agama lain.

Menjaga akidah ialah tanggungjawab setiap Muslim. Menjaga maruah manusia juga tuntutan agama. Kedua-duanya perlu dilaksanakan dengan ilmu, adab dan keadilan.

***MOHD SHAIRAWI MOHD NOOR merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dan PROFESOR MADYA DR ZAIZUL AB RAHMAN ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!