Jangan jadi 'Yang Arif' media sosial

Laporan muka depan Sinar Harian pada Ahad mengenai Panglima Tentera Darat diarah cuti serta-merta.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Ahad mengenai Panglima Tentera Darat diarah cuti serta-merta.
A
A
A

ARAHAN supaya Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bercuti berkuat kuasa serta-merta mendapat perhatian banyak pihak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi kenyataan media berkata, ia bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan sebelum ini.

Dakwaan dimaksudkan adalah berhubung siasatan beberapa projek melibatkan Tentera Darat Malaysia (TDM) sejak 2023, yang kini di bawah perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fokus siasatan tertumpu kepada projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan secara tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut mengesahkan satu kertas siasatan berhubung kes itu dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut beliau, semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang.

Penulis berkesempatan menemubual penganalisis pertahanan, Zaki Salleh untuk bertanyakan perihal itu dengan lebih terperinci, dalam konteks sama ada ia pernah terjadi sebelum ini atau amalan baharu dalam dunia ketenteraan.

Katanya, ia amalan biasa yang bukan hanya berlaku dalam organisasi ketenteraan, malah sektor perkhidmatan awam dan swasta juga.

Cuma yang menjadi perbualan ramai adalah apabila dakwaan salah laku membabitkan individu berpangkat paling penting dalam perkhidmatan ketenteraan, maka sudah semestinya ia dilihat sensasi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zaki menasihatkan orang ramai untuk tidak terlalu mempercayai khabar angin yang bertebaran, mewujudkan persepsi negatif atau bertindak sebagai 'Yang Arif' di media sosial.

Jelasnya, masyarakat perlu memahami bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

Apa pun, tindakan Mohamed Khaled realistik kerana beliau juga mahukan proses siasatan berjalan lancar tanpa sebarang konflik kepentingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!