Konsultan rugi lebih setengah juta terpedaya skim pelaburan palsu

Mangsa dikatakan tertarik dengan skim pelaburan tersebut selepas membaca satu iklan di media sosial.
Mangsa dikatakan tertarik dengan skim pelaburan tersebut selepas membaca satu iklan di media sosial.
A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas mengalami kerugian berjumlah RM690,500 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) menerima laporan daripada mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 71 tahun berhubung kejadian itu pada 29 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa yang bekerja sebagai konsultan di sebuah syarikat swasta di negeri ini dipercayai terpedaya dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan tinggi.

“Siasatan awal mendapati mangsa mula terjebak dengan skim pelaburan tersebut pada pertengahan November lalu selepas membaca iklan pelaburan saham melalui aplikasi TikTok,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang suspek wanita menerusi aplikasi Whatsapp sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan Whatsapp berkaitan pelaburan berkenaan.

"Mangsa telah diberikan penerangan bahawa pelaburan berkenaan menjanjikan pulangan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh masa singkat daripada jumlah modal yang dilaburkan.

“Tertarik dengan tawaran tersebut, mangsa telah diminta memuat turun satu aplikasi bagi tujuan pendaftaran keahlian dan pelaburan,” katanya.

Azizee menambah, antara 10 November hingga 23 Disember lalu, mangsa telah membuat sebanyak 20 transaksi kemasukan wang ke dalam empat akaun bank milik syarikat yang berbeza.

"Mangsa mula menyedari telah diperdaya apabila tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan, malah diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran keuntungan.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa berasa curiga dan mengesyaki dirinya telah ditipu sebelum tampil membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan," katanya lagi.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita tempatan berusia 58 tahun mengalami kerugian sebanyak RM462,000 selepas menjadi mangsa penipuan telefon yang menyamar sebagai wakil syarikat e-dompet dan pegawai polis, awal bulan lalu.

Azizee
Azizee

Azizee berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPDTL menerima laporan berhubung kejadian itu pada 22 Disember lalu.

Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang pesara swasta dipercayai diperdaya suspek melalui beberapa siri panggilan telefon bermula pada 5 Disember ketika mangsa berada di kediamannya di Batu Ferringhi.

“Mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai wakil sebuah syarikat e-dompet dan memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan daripada akaun yang didaftarkan atas nama mangsa.

“Selepas mangsa menafikan dakwaan itu, panggilan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari IPK Pulau Pinang," katanya.

Tambah beliau, suspek kemudiannya menyoal siasat mangsa dan meminta maklumat peribadi kononnya bagi tujuan siasatan sebelum mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Suspek turut memaklumkan bahawa satu waran tangkap telah dikeluarkan atas nama mangsa.

"Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman yang meminta mangsa bekerjasama dengan pihak polis," katanya lagi.

Menurutnya, mangsa diarahkan menyerahkan semua butiran perbankan serta diminta memindahkan kesemua wang simpanannya ke dalam sebuah akaun bank miliknya sendiri.

“Pada 10 Disember, mangsa telah memindahkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berjumlah RM460,000 ke dalam akaun bank berkenaan seperti yang diarahkan.

"Suspek seterusnya mengarahkan mangsa mengeluarkan wang tunai sebanyak RM230,000 untuk diserahkan kepada wakil Bank Negara Malaysia bersama kad ATM milik mangsa bagi tujuan siasatan," ujarnya.

Azizee berkata, pada hari sama, mangsa menyerahkan wang tunai dan kad ATM miliknya kepada seorang lelaki yang tidak dikenali di tepi jalan sekitar kawasan Batu Ferringhi yang kononnya wakil Bank Negara.

"Bagaimanapun, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan kejadian itu kepada adiknya pada 22 Disember lalu.

“Hasil semakan dengan pihak bank mendapati terdapat pengeluaran wang daripada akaun mangsa berjumlah RM232,000 secara berperingkat.

"Mangsa kemudiannya telah tampil membuat laporan polis. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang wanita warga emas kerugian RM690,500 akibat penipuan pelaburan dalam talian
  • Mangsa terpedaya dengan tawaran pelaburan saham via aplikasi TikTok
  • Melibatkan 20 transaksi kemasukan wang ke empat akaun bank berbeza
  • Mula menyedari ditipu apabila tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!