Arab Saudi lancar serangan udara ke pelabuhan Mukalla, Yemen

ISTANBUL – Gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi di Yemen melancarkan serangan udara terhad pada Selasa, menyasarkan dua kapal yang berlabuh di Pelabuhan Mukalla, di timur negara itu.
Menurut laporan Agensi Berita Arab Saudi (SPA), jurucakap Pasukan Gabungan, Mejar Jeneral Turki al-Maliki berkata, dua kapal yang tiba dari Pelabuhan Fujairah, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memasuki Pelabuhan Mukalla pada 27 dan 28 Disember tanpa memperoleh kebenaran rasmi daripada Markas Pemerintahan Bersama pasukan gabungan.
Beliau berkata, sejumlah besar senjata dan kenderaan tempur telah dipunggah daripada kapal berkenaan bagi menyokong pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) di wilayah timur Yemen, khususnya di Hadramout dan Al-Mahra, dengan tujuan mencetuskan serta menyemarakkan konflik.
“Berikutan tahap ancaman dan risiko dan impak yang dibawa oleh senjata ini terhadap keselamatan dan kestabilan, Tentera Udara Gabungan telah melaksanakan satu operasi ketenteraan terhad pada pagi ini, menyasarkan senjata dan kenderaan tempur yang dipunggah daripada dua kapal tersebut di Pelabuhan Mukalla, selepas pelanggaran itu didokumenkan,” katanya.
Al-Maliki menegaskan operasi tersebut dilaksanakan selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan peraturan kebiasaan, serta memastikan tiada kerosakan sampingan berlaku.
Beliau turut menegaskan komitmen gabungan untuk mengurangkan ketegangan di wilayah timur Hadramout dan Al-Mahra, selain menghalang sebarang penghantaran ketenteraan kepada mana-mana pihak tanpa penyelarasan dengan kerajaan Yemen yang sah dan pasukan gabungan.
Setakat ini, UAE belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung operasi berkenaan.
Ketegangan di Yemen dilaporkan meningkat sejak awal bulan ini selepas STC menguasai wilayah Hadramout dan Al-Mahra susulan pertempuran dengan pasukan kerajaan.
STC berulang kali mendakwa kerajaan-kerajaan terdahulu telah meminggirkan wilayah selatan dari segi politik dan ekonomi, sekali gus menggesa pemisahan wilayah tersebut daripada Yemen utara.
Namun, dakwaan itu ditolak pihak berkuasa Yemen, yang menegaskan komitmen mereka untuk mengekalkan keutuhan dan kedaulatan wilayah negara.-Agensi
Ringkasan AI
- Gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi di Yemen melancarkan serangan udara terhadap dua kapal di Pelabuhan Mukalla
- Dua kapal tersebut datang dari Pelabuhan Fujairah, UAE tanpa izin rasmi dari pasukan gabungan
- Senjata dan kenderaan tempur dipunggah dari kapal tersebut untuk menyokong Majlis Peralihan Selatan di Hadramout dan Al-Mahra
- Operasi militer dilaksanakan mengikut undang-undang kemanusiaan antarabangsa tanpa kerosakan sampingan
- Ketegangan di Yemen meningkat akibat tindakan STC menguasai Hadramout dan Al-Mahra
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

