Pahang iltizam terus pertahan kestabilan politik, tolak perpecahan gugat kemakmuran-MB

Ucapan Tahun Baharu 2026 dikongsi Wan Rosdy melalui Facebooknya.
Ucapan Tahun Baharu 2026 dikongsi Wan Rosdy melalui Facebooknya.
A
A
A

KUANTAN - Sempena Tahun Baharu 2026, Kerajaan Negeri Pahang beriltizam untuk terus mempertahankan kestabilan politik sedia ada serta menolak sebarang bentuk perpecahan yang boleh menggugat kemakmuran negeri.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ke arah itu, Gagasan Aspirasi Pahang 1st akan terus diperkukuh sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri.

Menurutnya, Prinsip Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan akan diterjemahkan melalui dasar, program dan tindakan yang nyata.

"Tahun 2026 juga akan menyaksikan usaha berterusan kerajaan negeri untuk memperkasa ekonomi rakyat, mencipta peluang pekerjaan, memperkukuh syiar Islam, memelihara alam sekitar serta meningkatkan kecekapan tadbir urus," katanya.

Beliau berkata demikian melalui kenyataan perutusan Tahun Baharu 2026 pada Rabu.

Dalam perutusan itu, Wan Rosdy menzahirkan kesyukuran apabila melabuhkan tirai tahun 2025 dengan penuh warna-warni dan melangkah ke tahun 2026 dengan penuh keinsafan, harapan dan tekad yang teguh.

"Tahun 2025 menyaksikan pelbagai kejayaan, cabaran dan ujian berjaya diharungi hasil daripada kestabilan politik dan perpaduan rakyat.

"Kestabilan ini membolehkan kerajaan negeri mentadbir secara konsisten, melonjak ekonomi negeri serta melaksanakan dasar dengan berkesan serta memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan," ujarnya.

Justeru itu, Wan Rosdy mengajak rakyat Pahang bersama melangkah ke tahun 2026 dengan azam yang kukuh demi masa depan negeri yang aman, makmur dan sejahtera serta dirahmati Allah SWT.

Artikel Berkaitan:

"Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026," ucap beliau.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Negeri Pahang beriltizam mempertahankan kestabilan politik dan menolak perpecahan untuk kemakmuran negeri sempena Tahun Baharu 2026
  • Gagasan Aspirasi Pahang 1st akan terus diperkukuh sebagai teras utama pentadbiran dan pembangunan negeri
  • Prinsip Rakyat Didahulukan, Kemakmuran Dipertahankan akan dijadikan landasan utama
  • Usaha memperkasa ekonomi, mencipta peluang pekerjaan dan meningkatkan kecekapan tadbir urus akan diteruskan pada tahun 2026
  • Menteri Besar Pahang mengajak rakyat bersama-sama bersatu padu demi masa depan negeri yang aman, makmur, dan sejahtera

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!