Polis bongkar motif anak 12 tahun bunuh ibu

Sidang media polis yang berlangsung pada Isnin mendedahkan motif suspek membunuh ibunya. Foto Agensi
Sidang media polis yang berlangsung pada Isnin mendedahkan motif suspek membunuh ibunya. Foto Agensi
A
A
A

MEDAN – Polis mendedahkan tiga faktor utama yang dipercayai menjadi pencetus kepada kes seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dipercayai membunuh ibunya di Kota Medan, Sumatera Utara.

Ketua Polis Besar Medan, Kombes Calvijn Simanjuntak berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak berkenaan, dikenali sebagai AL, bertindak membunuh mangsa, F, 42, selepas menyaksikan beberapa insiden keganasan dalam keluarga.

Menurutnya, faktor pertama ialah AL melihat mangsa melakukan kekerasan terhadap abang serta bapanya, termasuk mengancam mereka menggunakan pisau.

“Faktor kedua, suspek turut menyaksikan abangnya dipukul oleh mangsa menggunakan penyapu dan tali pinggang,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Besar Medan pada Isnin.

Beliau berkata, faktor ketiga yang dikenal pasti ialah perasaan sakit hati suspek selepas permainan dalam talian miliknya dipadamkan oleh mangsa.

Simanjuntak turut memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut kerap bermain permainan video yang melibatkan penggunaan senjata tajam serta menonton siri animasi yang memaparkan adegan menggunakan pisau.

Sebelum ini, polis telah menjalankan lakon semula kes berkenaan yang mengambil masa hampir enam jam bagi mendapatkan gambaran jelas kejadian sebenar.

“Pasukan penyiasat telah melaksanakan proses itu dengan melibatkan individu sebenar berdasarkan fakta kejadian. Sebanyak 43 adegan dilakonkan semula,” katanya.

Menurut Simanjuntak, lakon pertama dilakukan di lokasi gantian sebelum sesi kedua dijalankan di tempat kejadian sebenar.

Artikel Berkaitan:

Dalam proses tersebut, saksi serta kanak-kanak yang disyaki terlibat turut ditemani ahli psikologi dan pegawai daripada agensi perlindungan kanak-kanak.

Selain itu, polis juga menjalankan penggeledahan lanjut dan merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan.

Mangsa F sebelum ini ditemukan meninggal dunia di dalam bilik tidur di tingkat satu rumah mereka pada Rabu, 10 Disember lalu.

Ketua Lingkungan V, Kelurahan Tanjung Rejo, Tono berkata, mangsa ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.

“Saya melihat mangsa sudah terbaring di atas katil. Abangnya mengalami kecederaan pada jari dan menerima rawatan, manakala adiknya hanya duduk di sofa ruang tamu,” katanya.

Menurut Tono, kanak-kanak tersebut tidak menunjukkan reaksi emosi ketika kejadian, manakala suami mangsa tidak dapat menahan kesedihan.

Beliau turut memaklumkan bahawa keluarga berkenaan jarang bergaul dengan jiran tetangga dan kedua-dua anak mangsa dikenal pasti sebagai bersifat tertutup.

“Setiap kali pulang dari sekolah, mereka terus berada di rumah dan jarang berinteraksi dengan masyarakat sekeliling,” katanya.

Kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa. -Agensi

Ringkasan AI

  • Polis mendedahkan tiga faktor utama yang diduga menyebabkan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun membunuh ibunya di Medan
  • Kanak-kanak itu melihat kekerasan dalam keluarga termasuk ibunya mengancam menggunakan pisau dan memukul abangnya
  • Faktor ketiga adalah perasaan sakit hati selepas permainan dalam talian miliknya dipadamkan oleh ibunya
  • Kanak-kanak tersebut kerap bermain permainan video kekerasan dan menonton siri animasi yang memaparkan penggunaan pisau
  • Polis telah menjalankan reka semula kejadian yang melibatkan 43 adegan untuk mendapatkan gambaran jelas kejadian sebenar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!