Warisan belum putuskan untuk bertanding di Kinabatangan, Lamag - Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) belum membuat sebarang keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebarang dakwaan yang mengatakan Warisan telah membuat keputusan mengenai perkara itu adalah tidak benar.
"Pada ketika ini, sebarang dakwaan atau kenyataan yang mendakwa Warisan telah membuat keputusan sama ada untuk bertanding atau tidak, adalah terlalu awal dan tidak tepat.
"Seperti semua urusan pilihan raya, Warisan akan membuat keputusan melalui perbincangan dalaman dan proses parti yang sewajarnya, dengan mengambil kira kepentingan rakyat Sabah," katanya.
Tambahnya, sebaik perbincangan dan keputusan dibuat barulah ia akan diumumkan secara rasmi oleh pihak parti.
"Sehingga itu, orang ramai dan pihak media dinasihatkan supaya hanya merujuk kepada kenyataan yang telah disahkan dan dikeluarkan secara rasmi oleh parti," jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini telah menetapkan 24 Januari depan sebagai tarikh PRK di dua kawasan tersebut susulan penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dari Barisan Nasional (BN) meninggal dunia pada 5 Disember lalu.
Ringkasan AI
- Parti Warisan belum buat keputusan bertanding di PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
- Dakwaan Warisan telah buat keputusan adalah tidak benar
- Pertimbangan keputusan melalui perbincangan dalaman dan proses parti
- Keputusan akan diumumkan secara rasmi selepas dibuat
- Orang ramai dan media dinasihatkan merujuk kenyataan rasmi dari parti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
