Gegaran gempa bumi dirasai di Felda Sri Ledang, Felda Lenga - ADUN Bukit Kepong

MUAR – Satu gegaran gempa bumi kecil dilaporkan berlaku di Bukit Kepong, dengan gegaran turut dirasai penduduk di sekitar Felda Sri Ledang dan Felda Lenga pada pagi Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengesahkan menerima maklumat berhubung kejadian tersebut.
"Ia benar telah terjadi gempa bumi kecil d kawasan DUN Bukit Kepong. Gegaran dapat dirasakan di sekitar Felda Sri Ledang dan Felda Lenga.
"Semoga ALLAH SWT melindungi semua penduduk di Bukit Kepong," katanya dalam muat naik di Facebooknya.
Bekas Menteri Besar Johor itu turut berkongsi video rakaman kamera litar tertutup berdurasi satu minit menunjukkan gegaran yang berlaku di sebuah kedai runcit di Felda Sri Ledang.
Gegaran berkenaan dapat dilihat pada saat ke-24 rakaman apabila keadaan di dalam kedai kelihatan bergoyang mengejutkan penghuni rumah kedai sebelum mereka keluar untuk melihat punca kejadian.
Sebelum ini, satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 dilaporkan berlaku di sekitar Bukit Kepong, Pagoh di sini pada jam 8.55 pagi Ahad, namun tiada ancaman tsunami kepada Malaysia.
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa berkenaan dikesan pada koordinat 2.4° Utara dan 102.7° Timur, kira-kira 16 kilometer barat daya Pagoh, dengan kedalaman 10 kilometer.
Ringkasan AI
- Satu gegaran gempa bumi kecil dilaporkan di Bukit Kepong dan dirasai penduduk sekitar Felda Sri Ledang dan Felda Lenga
- ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengesahkan kejadian tersebut
- Rakaman video menunjukkan gegaran di sebuah kedai runcit di Felda Sri Ledang
- Gempa bumi tersebut bermagnitud 3.4 tanpa ancaman tsunami
- Koordinat gempa adalah 2.4° Utara dan 102.7° Timur, kedalamannya 10 kilometer
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

