Subsidi bersasar: Salah guna merugikan

BUDI95 diperkenalkan bagi memastikan subsidi petrol RON95 sampai kepada golongan benar-benar layak dan pada masa sama, ia bertujuan mengurangkan ketirisan perbelanjaan negara. Foto hiasan
BUDI95 diperkenalkan bagi memastikan subsidi petrol RON95 sampai kepada golongan benar-benar layak dan pada masa sama, ia bertujuan mengurangkan ketirisan perbelanjaan negara. Foto hiasan
A
A
A

PELAKSANAAN subsidi bersasar seperti Budi Madani RON95 (BUDI95) bukan hanya bergantung kepada sistem dan teknologi tetapi turut menuntut tahap tanggungjawab individu yang tinggi dalam kalangan pengguna.

Kemudahan yang disediakan kerajaan berasaskan kepercayaan perlu dimanfaatkan secara beretika susulan matlamat asal bantuan hanya dapat dicapai jika rakyat mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Media sebelum ini melaporkan tindakan seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan selepas menggunakan MyKad milik individu lain bagi menebus subsidi bahan api itu di sebuah stesen minyak di Gemencheh, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.

Perbuatan itu terbongkar apabila pemilik MyKad menyedari berlaku penebusan BUDI95 atas namanya walaupun tidak pernah berbuat demikian, sebelum tampil membuat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Kes salah tebus insentif menggunakan MyKad milik individu lain, walaupun terpencil, mengingatkan bahawa dasar awam memerlukan kerjasama rakyat sebagai rakan pelaksana kerana tanpa sikap bertanggungjawab, ruang penyalahgunaan tetap wujud.

BUDI95 diperkenalkan bagi memastikan subsidi petrol RON95 sampai kepada golongan benar-benar layak dan pada masa sama, ia bertujuan mengurangkan ketirisan perbelanjaan negara.

Pendekatan itu mencerminkan usaha kerajaan menyeimbangkan kebajikan rakyat dengan disiplin fiskal jangka panjang.

Dalam konteks ini, MyKad bukan sekadar alat pengesahan tetapi melambangkan amanah peribadi yang perlu digunakan secara berhemah.

Penyalahgunaan dokumen pengenalan, sama ada disengajakan atau akibat sikap sambil lewa, boleh menjejaskan keadilan pengagihan subsidi selain menyebabkan keyakinan terhadap sistem turut terkesan.

Artikel Berkaitan:

Tindakan penguatkuasaan wajar dilihat sebagai langkah mendidik kerana ia berfungsi sebagai peringatan bahawa setiap kemudahan datang bersama tanggungjawab.

Pada masa sama, kesedaran awam mengenai mekanisme subsidi bersasar perlu terus diperkukuh menerusi penerangan berterusan penting bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Akhirnya, kejayaan BUDI95 bergantung kepada keseimbangan antara sistem yang kukuh dan sikap pengguna yang berintegriti yang mana subsidi bukan hak mutlak, sebaliknya amanah bersama.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!