Lelaki ditemui meninggal dunia ketika mendaki bukit

Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa di Bukit Cherok To' Kun pagi tadi.
Pasukan penyelamat sedang mencari mangsa di Bukit Cherok To' Kun pagi tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di laluan mendaki di Bukit Cherok To'Kun di sini kira-kira jam 10 pagi tadi selepas tidak pulang daripada melakukan aktiviti itu sejak lapan hari lalu.

Mayat Teng Ching Hiang, 58 ditemukan oleh sepasukan penyelamat yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sukarelawan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintenden Mohd Mustafa Bidin berkata, operasi pencarian bermula jam 9.30 pagi selepas polis menerima laporan daripada rakannya pada 26 Mac lalu.

Menurutnya, mangsa memberitahu rakan yang menghubunginya pagi 21 Mac lalu dia ingin mendaki di Bukit Cherok To' Kun seorang diri.

"Rakannya menasihati mangsa supaya membatalkan hasrat itu kerana Perintah Kawalan Pergerakan telah dijalankan.

"Mangsa masih tidak mendengar nasihat namun rakannya tidak pasti sama ada mangsa meneruskan hasrat atau membatalkannya," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, keesokan harinya, rakannya telah ke rumah mangsa di Taman Sentosa di sini dan mendapati rumahnya dalam keadaan berkunci.

Artikel Berkaitan:

"Rakannya cuba menghubungi mangsa melalui telefon bimbit tetapi gagal kerana talian telefon tidak aktif. Bimbang dengan keadaan mangsa, rakannya telah membuat laporan polis pada 26 Mac lalu. Selepas menerima laporan tersebut, polis telah menghubungi keluarga dan rakan mangsa lain untuk pengesahan.

"Pemeriksaan di rumah mangsa juga tidak menemui sebarang pergerakan. Oleh demikian, pagi ini kita melancarkan operasi pencarian di Bukit Cherok To' Kun dan berjaya menemui mayat mangsa," katanya.

Mohd Mustafa berkata, pemeriksaan fizikal ke atas mayat mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

"Mayat dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat untuk mengetahui punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Saya menasihatkan orang ramai mematuhi PKP dan jangan melakukan aktiviti riadah atau sengaja merayau tanpa tujuan," katanya.