Desak Telco gagal pulih gangguan perkhidmatan di Pulau Tioman dikenakan tindakan - Exco

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang kesal dengan kegagalan syarikat telekomunikasi (Telco) mengambil tindakan sewajarnya memulihkan semula perkhidmatan selular di Kampung Salang, Pulau Tioman yang mengalami gangguan sejak 17 Disember lalu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, ia berikutan pihak Telco tidak mengambil tindakan pemulihan dan pembaikan dengan kadar segera sebaik sahaja berlakunya gangguan perkhidmatan di pulau peranginan itu.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan pihak Telco tidak serius sekali gus menunjukkan kegagalan mereka untuk mengotakan janji bagi menyelesaikan sebarang isu gangguan perkhidmatan dengan kadar segera.

"Sedangkan perkara itu telah dipersetujui semasa Sesi Libat Urus Bersama Pemain Industri Telekomunikasi, Pos Dan Kurier Negeri Pahang yang diadakan pada 8 September lalu.

"Justeru, saya memohon kepada Menteri Komunikasi dan pihak Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas berdasarkan kepada perundangan sedia ada," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Fadzli berkata, tindakan itu penting bagi memastikan semua syarikat Telco bertindak secara lebih bertanggungjawab dan serius dalam menangani isu gangguan perkhidmatan telekomunikasi termasuk di Pulau Tioman.

"Mereka (Telco) juga perlu menyelesaikan segera segala permasalahan yang turut dihadapi rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh Pahang.

"Kepentingan dan kebajikan rakyat tidak wajar dipandang ringan, apatah lagi apabila melibatkan akses komunikasi asas yang menjadi keperluan utama dalam aspek keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat," katanya.

Jelas beliau, lebih membimbangkan, keadaan cuaca yang tidak menentu melanda beberapa daerah di Pahang termasuk di Rompin, berpotensi memburukkan lagi keadaan, apatah lagi baru-baru ini beberapa lokasi di Pulau Tioman turut dilanda banjir.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!