Kerajaan Pahang pertimbang perluasan program bank susu ibu

Razali (dua dari kiri) mengiringi Tengku Azizah menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Negeri Pahang 2025: Pinktastik Pekan pada Sabtu.
Razali (dua dari kiri) mengiringi Tengku Azizah menyempurnakan gimik perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Negeri Pahang 2025: Pinktastik Pekan pada Sabtu.
A
A
A

PEKAN - Kerajaan Pahang akan meneliti keperluan memperluaskan program bank susu ibu seperti Pusat Susu Bonda Halimatussaadia yang diwujudkan di Pusat Kesihatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, cadangan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) untuk diteliti.

Menurutnya, sekiranya terdapat keperluan dan melibatkan kepentingan masyarakat, kemudahan itu mungkin boleh dilaksanakan di klinik atau hospital yang bersesuaian.

“Kerajaan negeri melalui JKNP sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong penyusuan susu ibu termasuk melalui Klinik Rakan Bayi di semua klinik kesihatan kerajaan dan Hospital Rakan Bayi di 11 hospital kerajaan serta tiga hospital lain di negeri ini.

“Pemerkasaan komuniti melalui Kumpulan Sokongan Penyusuan Susu Ibu turut dilaksanakan bagi menyampaikan pendidikan penyusuan berterusan kepada wanita pada peringkat umur reproduktif di luar fasiliti kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Perasmian Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Negeri Pahang 2025: Pinktastik Pekan di sini pada Sabtu.

Majlis perasmian itu disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tengku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Razali berkata, hasil usaha berterusan diterjemahkan melalui peningkatan peratus penyusuan susu ibu eksklusif dalam kalangan bayi berumur enam bulan di klinik kesihatan daripada 61.5 peratus pada 2017 kepada 79 peratus pada 2024.

“Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2022, terdapat peningkatan amalan penyusuan susu ibu dengan kadar penyusuan dalam kalangan bayi sehingga dua tahun meningkat sebanyak 50.6 peratus berbanding 37.4 peratus pada NHMS 2016.

Artikel Berkaitan:

“NHMS 2022 juga menunjukkan prevalens ibu yang memulakan penyusuan dalam tempoh satu jam selepas kelahiran di Pahang adalah 76.5 peratus, melepasi pencapaian Malaysia iaitu 64.3 peratus,” katanya.

Tambah beliau, Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu menekankan kepentingan amalan itu sebagai langkah awal melindungi kesihatan bayi, ibu dan alam sekitar.

Menurutnya, penyusuan susu ibu juga merupakan salah satu komponen utama dalam 1,000 hari pertama kehidupan yang merupakan tempoh kritikal bagi perkembangan kognitif dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak.

“Justeru, semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam mewujudkan sistem sokongan serta persekitaran lestari bagi memastikan kejayaan penyusuan susu ibu,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pahang akan meneliti keperluan memperluas program bank susu ibu
  • Cadangan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang
  • Kerajaan negeri melalui JKNP melaksanakan inisiatif menyokong penyusuan susu ibu
  • Peningkatan peratus penyusuan susu ibu eksklusif dalam kalangan bayi daripada 61.5 peratus pada 2017 kepada 79 peratus pada 2024
  • Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu menekankan kepentingan amalan itu sebagai langkah awal melindungi kesihatan bayi, ibu dan alam sekitar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!