Mangsa banjir di Bayan Lepas perlu bantuan khas

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A
GEORGE TOWN - Adun Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz memohon kepada Ketua Menteri Chow Kon Yeow supaya dapat mempertimbangkan bantuan khas bencana banjir kepada mangsa yang dilanda banjir kilat pada Rabu.

Katanya penduduk di kawasan Bayan Lepas paling ramai terjejas akibat banjir kilat itu dan mengalami kerosakan harta benda yang teruk.

"Banjir pada Rabu itu agak teruk terutama di kawasan Bayan Lepas dan ramai penduduk yang mengalami kerosakan harta benda sebab itu saya bersuara kepada Ketua Menteri agar mempertimbangkan bantuan khas berkenaan.

"Buat masa ini tiada jawapan lagi...banjir itu bukan sahaja merosakkan harta benda penduduk malah ia luar jangkaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu lepas, hujan berterusan sejak pagi telah menyebabkan beberapa kawasan antaranya Bayan Lepas, Teluk Kumbar, Sungai Ara, Teluk Bahang dan Sungai Pinang di Balik Pulau mengalami banjir kilat.

Hujan yang bermula pukul 8.30 pagi hingga 4 petang itu telah menyebabkan puluhan rumah di kawasan berkenaan mengalami banjir kilat dan dinaiki air antara 0.3 meter(m) hingga 0.6m.

Azrul Mahathir berkata dalam persidangan Dun yang lepas beliau telah membangkitkan isu pembangunan supaya mengambil kira permasalahan di hiliran.

"Kadar mampu tanggung water catchment Sungai Teluk Kumbar dan Sungai Bayan Lepas perlu diambil kira supaya banjir tidak lebih teruk lagi pada masa hadapan," katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama agensi kerajaan seperti polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dalam membantu mengurus mangsa banjir. - Bernama
Artikel Berkaitan: