‘Kami jumpa lubang penuh mayat tentera Sulu’

MELAKA - Penemuan sebuah lubang besar berisi puluhan mayat tentera Sulu yang hanya ditutup dengan pelepah sawit merupakan antara detik paling tidak dapat dilupakan dalam Ops Daulat di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Bercerita lanjut, Skuadron Perahu Khas, Pegawai Waran 1 Muhamad Hafis Ramli, 39, berkata, mayat-mayat berkenaan dipercayai telah meninggal dunia antara lima hingga enam hari berdasarkan keadaan fizikalnya yang teruk.
Menurutnya, lubang tersebut berada di kawasan yang sebelum itu dikawal sepenuhnya oleh kumpulan penceroboh dan hanya dimasuki tentera selepas kawasan berkenaan diserahkan oleh polis.

“Mayat-mayat berkenaan diletakkan dalam lubang besar dan tidak dikambus tanah, sebaliknya sekadar ditutup dengan pelepah sawit.
“Ada yang diikat kain putih pada tangan. Dalam peperangan, kain putih membawa maksud menyerah diri, namun mereka memakai kain putih itu dengan kepercayaan mahu mati syahid.
“Kononnya, jika mati syahid, mayat tidak akan busuk, namun keadaan mayat dalam lubang itu jelas dalam keadaan teruk,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Tahun Baharu 2026 dan Sambutan Jubli Intan ke-60 Rejimen Gerak Khas (GGK) di Encore Melaka pada Jumaat.
Peristiwa Lahad Datu meninggalkan sejarah hitam buat Malaysia apabila ramai perwira negara gugur mempertahankan kedaulatan tanah air daripada dicerobohi pengganas Sulu pada 2013.
Tragedi pencerobohan itu dikaitkan dengan insiden diplomatik antara Malaysia dan Filipina selepas seramai 235 pengganas Filipina, sebahagiannya bersenjata, mendarat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 11 Februari 2013.

Pencerobohan tersebut mengorbankan 12 perwira negara, selain mengakibatkan kematian 56 pengganas dan enam orang awam, sebelum konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.
Berkongsi lanjut mengenai pengalaman semasa terlibat dalam operasi berkenaan, Muhamad Hafis berkata, pasukan keselamatan turut berdepan situasi serangan hendap ketika sedang berehat dan makan tengah hari, apabila sekumpulan penceroboh tiba-tiba memunculkan diri.
“Kejadian berlaku pada waktu siang ketika keadaan kelihatan tenang. Mereka mempunyai pengalaman tempur dan berani menyerang secara terbuka.
“Mereka datang berkumpulan dari dua arah. Satu kumpulan bertindak mengalihkan perhatian, manakala satu lagi menyerang dari arah belakang,” katanya.
Beliau berkata, beberapa penceroboh berjaya ditembak mati, manakala sebahagian lagi menyerah diri dan ditahan hidup-hidup dalam operasi susulan.

Menurutnya, operasi tersebut yang mengambil masa kira-kira dua bulan menjadi antara pengalaman tempur paling mencabar sepanjang lebih 21 tahun beliau berkhidmat sebagai komando.
Sementara itu, orang ramai kini berpeluang melihat lebih dekat aset ketenteraan melibatkan elemen darat, laut dan udara yang jarang dipertontonkan kepada umum menerusi Sambutan Jubli Intan ke-60 Rejimen GGK
Pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman menaiki bot laju tentera menerusi program berkenaan yang berlangsung bermula Sabtu hingga 31 Disember ini.
Penyelaras Sambutan Jubli Intan GGK Fasa 2 yang juga Pegawai Laksana Rejimen 22 Komando, Leftenan Kolonel Nor Hasnizar Nor Rashid berkata, penganjuran kali ini berbeza berbanding sambutan terdahulu yang bersifat rejimental.
“Sambutan fasa kedua ini diadakan di luar kem tentera bagi membuka ruang kepada orang awam untuk mengenali dengan lebih dekat peranan serta keupayaan pasukan elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Pendekatan ini membolehkan orang awam melihat sendiri kesiapsiagaan serta keupayaan GGK dalam mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Majlis perasmian Sambutan Jubli Intan GGK Fasa 2 dijadualkan disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada Ahad.
Ringkasan AI
- Penemuan lubang besar berisi mayat tentera Sulu ditutup dengan pelepah sawit dalam Ops Daulat, Lahad Datu Sabah 2013
- Mayat-mayat tersebut dipercayai meninggal antara lima hingga enam hari sebelum ditemukan
- Lubang tersebut berada di kawasan yang sebelumnya dikawal penceroboh sebelum diserahkan kepada tentera
- Tragedi Lahad Datu merupakan sejarah hitam bagi Malaysia dengan kematian 12 perwira negara, 56 pengganas dan enam awam
- Sambutan Jubli Intan ke-60 Rejimen Gerak Khas membolehkan orang ramai melihat lebih dekat aset ketenteraan dan merasai pengalaman menaiki bot laju tentera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


