Berang tidak dapat RM10, lelaki hentak isteri guna kipas angin

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes keganasan rumah tangga.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes keganasan rumah tangga.
A
A
A

TAWAU - Seorang lelaki ditahan polis selepas bertindak ganas menghentak kepala isterinya dengan menggunakan kipas dalam kejadian di Felda Umas pada Rabu.

Dalam kejadian 1.15 tengah hari itu, mangsa yang berusia 34 tahun itu diperlakukan sedemikian selepas suaminya berang akibat tidak diberikan wang RM10 yang diminta.

Timbalan Ketua Polis Daerah Champin Piuh berkata, suspek berjaya diberkas dalam satu serbuan selepas disyaki mencederakan isterinya melibatkan kejadian keganasan rumah tangga.

"Dalam kejadian yang berlaku pada September lalu, berlaku pertengkaran di dalam bilik yang kemudiannya bertukar ganas apabila suspek menghentak kepala mangsa menggunakan kipas angin sehingga menyebabkan kecederaan.

"Susulan laporan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), IPD Tawau berjaya mengesan dan menangkap suspek berusia 43 tahun di kediaman sama," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Champin berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan kes di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga serta berstatus orang dikehendaki.

"Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah kipas angin yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumahtangga, siasatan lanjut termasuk semakan rekod kesalahan lampau sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan," ujarnya.

Tegas beliau lagi, pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan keganasan rumah tangga dan tindakan tegas serta pendakwaan akan diambil terhadap pelaku tanpa mengira alasan atau hubungan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membiarkan konflik rumah tangga berlarutan sehingga mencetuskan keganasan dan segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa jika keselamatan diri terancam.

"Sikap berdiam diri akan hanya membuka ruang kepada pelaku untuk bertindak lebih agresif," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki ditahan polis selepas menghentak kepala isterinya dengan kipas di Felda Umas
  • Mangsa berusia 34 tahun, kejadian berlaku kerana suami berang tak diberi wang RM10
  • Serbuan polis berjaya menangkap suspek berusia 43 tahun di kediaman yang sama
  • Suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes keganasan rumah tangga
  • Polis tidak berkompromi dengan keganasan rumah tangga, mengambil tindakan tegas terhadap pelaku

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!