Kerajaan perlu jadikan NGO rakan sepasukan lawan Covid-19: Nik Nazmi

Nik Nazmi
Nik Nazmi
A
A
A

SETIAWANGSA - Tindakan kerajaan melarang Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menghulurkan bantuan secara langsung dengan komuniti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilihat boleh menjejaskan usaha negara mengekang wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, untuk menghapuskan Covid-19, kerajaan tidak boleh melakukan secara bersendirian sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat awam dan sivil.

"Saya tidak mempertikaikan hasrat pihak berkuasa ingin memerangi Covid-19, larangan untuk NGO bekerja secara langsung dengan komuniti yang kurang bernasib baik termasuklah mereka yang tiada tempat tinggal dan warga asing. Ini melemahkan usaha kita untuk melawan Covid-19.

"Setiap kumpulan ini mempunyai kepakaran dan telah biasa dengan kelompok yang mereka ingin bantu. Warga asing merupakan kelompok yang paling berisiko semasa penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mereka dengan sebab tersendiri sering tidak mahu atau takut untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa," katanya menerusi kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - NGO perlu hantar bantuan ke pusat pengumpulan JKM daerah: Ismail Sabri

Beliau berkata, kumpulan NGO boleh membantu dan memujuk mereka yang berisiko dalam komuniti untuk melakukan ujian saringan Covid-19 dan memberi didikan berkenaan jarak sosial yang perlu dipatuhi.

"Kerajaan perlu melihat NGO sebagai rakan sepasukan dalam melawan Covid-19 dan menggunakan kepakaran mereka.

"Mereka boleh mencapai kumpulan yang biasanya sukar untuk ditembusi kerajaan, sekali gus mengurangkan bebanan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, di kawasan Parlimennya, kerja-kerja membantu kumpulan yang terkesan akibat wabak Covid-19 sentiasa dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa.

"Kami turut menerima data daripada Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan maklumat dari masyarakat setempat untuk membantu kami mengesan individu yang memerlukan.

"Saya berharap kerajaan akan segera mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kepada masyarakat sivil mengenai perkara ini," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan ( Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, meminta supaya NGO yang ingin membantu menghantar bantuan tersebut ke pusat yang diwujudkan oleh JKM di bawah Kementerian Wanita dan Keluarga di setiap daerah sebelum disalurkan kepada mereka memerlukan.