DUN Perlis: Tiga ADUN Pas diminta pulangkan semula aset kerajaan

KANGAR - Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perlis diminta memulangkan semula aset kerajaan negeri setelah keahlian mereka dihentikan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus'sele Eizan berkata, pemulangan itu akan dimaklumkan kepada tiga ADUN berkenaan dalam masa terdekat.
"Aset milik kerajaan negeri perlu pulang secepat mungkin. Pihak dewan akan maklum kepada YB berkenaan untuk memulangkan apa yang diguna pakai," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Speaker DUN Kompleks Seri Putra di sini pada Khamis.
Dalam sidang media sama, Rus'sele memaklumkan tiga kerusi DUN Perlis perlu diisi semula sebagai kepentingan kestabilan kerajaan negeri dalam memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Katanya, sebagai menggunakan budibicara yang diperuntukkan melalui proviso kepada Fasal (5) Perkara 55 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis, beliau akan memaklumkan secara bertulis kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa kekuatan dari segi bilangan parti yang membentuk majoriti semua ahli Dewan Negeri adalah terjejas oleh sebab tiga kekosongan luar jangka itu.
"Saya akan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan luar jangka tersebut," katanya.
Menurutnya, satu pemakluman diterima dari Setiausaha Agong Pas, Datuk Seri Takiyudin Hassan, bahawa Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada Rabu, 24 Disember 2025, telah membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) dan (d)
Perlembagaan Pas, bahawa tiga orang Ahli Badan Perundangan Pas yang berikut adalah terhenti serta-merta keahlian sebagai ahli Pas.
Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Terdahulu, media tempatan melaporkan berlaku pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN) Perlis apabila terdapat lapan ADUN negeri itu didakwa tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri.
Mereka didakwa telah menyerahkan SD berkenaan kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.
Menurut laporan tersebut, kumpulan ADUN terbabit didakwa melibatkan tiga ADUN Pas dan selebihnya daripada Bersatu.
Sebagai rekod, Perlis mempunyai 15 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN mencipta sejarah apabila memenangi 14 kerusi (Pas 9, Bersatu 5) manakala Pakatan Harapan (PKR) memenangi satu kerusi di DUN Indera Kayangan.
Ringkasan AI
- Tiga ADUN Pas Perlis diminta memulangkan aset kerajaan negeri
- Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan akan maklumkan pemulangan aset kepada ADUN berkenaan
- Tiga kerusi DUN Perlis perlu diisi semula untuk kestabilan kerajaan negeri
- Rus'sele akan meminta SPR mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi tiga kekosongan
- Tiga ADUN Pas Perlis ialah dari Chuping, Bintong, dan Guar Sanji
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

