Mengapa Pas Pusat memilih bertembung dengan Istana Perlis?

TINDAKAN Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang pada Rabu, 24 Disember 2025, untuk membuat ketetapan berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan Pas (Pindaan 2025), bahawa tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas — iaitu YB Saad Seman (ADUN Chuping), YB Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan YB Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) — adalah terhenti serta-merta keahlian mereka sebagai ahli Pas, dilihat sebagai satu langkah yang berisiko besar dan berpotensi membawa Pas Pusat berdepan secara langsung dengan Istana Perlis.
Umum mengetahui bahawa sebelum ini, pertembungan yang berlaku adalah antara Istana Perlis dengan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, berkaitan beberapa isu pentadbiran dan hubungan institusi.
Situasi tersebut semakin meruncing apabila tersebarnya rakaman audio yang memperdengarkan kritikan Menteri Besar terhadap Istana Perlis, selain fakta bahawa Istana Perlis tidak menganugerahkan sebarang darjah kebesaran bergelar Datuk kepada beliau.
Kesemua perkembangan ini telah diketahui secara meluas oleh rakyat Perlis dan pemerhati politik tanah air.
Dalam konteks ini, perlu ditegaskan bahawa, mengikut sumber sahih, pihak yang memanggil tiga ADUN Pas berkenaan bukanlah mana-mana pihak luar atau individu berkepentingan politik, sebaliknya adalah Istana Perlis sendiri.
Sebagai rakyat yang menjunjung prinsip kesetiaan kepada Raja dan institusi beraja, persoalan besar timbul: adakah wajar tiga ADUN ini dipersalahkan semata-mata kerana mereka akur kepada titah Baginda?
Adakah kepatuhan kepada Raja boleh dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada parti?
Atas sebab itu, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih adil dan berhati-hati dengan memberi ruang sewajarnya kepada ketiga-tiga ADUN ini untuk membela diri serta menjelaskan situasi sebenar yang mendorong tindakan mereka.
Prinsip keadilan dan semangat syura dalam parti sepatutnya menuntut agar sebarang hukuman berat didahului oleh proses pendengaran dan penelitian yang telus, bukannya keputusan tergesa-gesa yang berpotensi mencetuskan implikasi lebih besar. Malangnya ini tidak berlaku.
Lebih penting lagi, ketiga-tiga ADUN ini bukanlah tokoh pinggiran dalam Pas Perlis. Saad Seman merupakan Timbalan Pesuruhjaya I PasPerlis dan Yang Dipertua Pas Padang Besar. Fakhrul Anwar Ismail pula ialah Setiausaha Pas Perlis, manakala Mohd Ridzuan Hashim bukan sahaja Ahli EXCO Kerajaan Perlis, tetapi juga Timbalan Yang Dipertua Pas Arau.
Mereka memegang peranan strategik dalam jentera parti dan telah menjadi tulang belakang kepada kekuatan Pas di negeri ini.
Keputusan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk menamatkan keahlian mereka serta-merta jelas berpotensi menjejaskan keutuhan dan kestabilan Pas Perlis.
Hakikatnya, ketiga-tiga ADUN ini bersama rakan-rakan mereka merupakan kelompok yang memenangi pemilihan parti secara sah, berbanding Menteri Besar yang tewas dalam pemilihan di peringkat kawasan dan juga Pusat.
Tindakan ini sekali gus menimbulkan persepsi bahawa Pas Pusat lebih cenderung melindungi kepimpinan tertentu, walaupun ia bertentangan dengan realiti sokongan di akar umbi.
Seorang sumber yang mengetahui perkembangan ini berpandangan bahawa tiga ADUN berkenaan sebenarnya berusaha menyelamatkan Pas Perlis daripada kemelut berpanjangan dengan Istana Perlis serta kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Namun malangnya, niat tersebut tidak ditafsirkan sebagai usaha memperbaiki keadaan, sebaliknya mereka pula yang menjadi mangsa kepada keputusan politik dalaman parti.
Tambah sumber tersebut, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memperlihatkan keyakinan bahawa ketiga-tiga kerusi ini akan diisytiharkan kosong oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, sepertimana yang pernah berlaku dalam kes kerusi Nenggiri di Kelantan.
”Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dilihat mungkin terlepas pandang satu fakta perlembagaan yang penting, iaitu Pilihan Raya Kecil tidak perlu diadakan kerana tempoh Dewan Undangan Negeri Perlis telah melepasi tiga tahun. Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas telah berlangsung pada 19 hingga 22 Disember 2022.
”Dalam kerangka ini, jangkaan yang lebih realistik ialah Raja Perlis akan menitahkan bahawa Menteri Besar terlucut jawatan setelah hilang sokongan majoriti ADUN melalui akuan bersumpah. Namun begitu, Menteri Besar berkemungkinan akan memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri dan mengadakan Pilihan Raya Negeri semula.
”Pilihan yang lebih munasabah dan berlandaskan kepentingan kestabilan negeri ialah untuk Tuanku menolak permohonan pembubaran tersebut, sebaliknya melantik seorang Menteri Besar baharu yang pada hemat Baginda memperoleh kepercayaan majoriti daripada baki dua belas orang ADUN yang tinggal.
”Langkah ini lebih wajar kerana ia dapat mengelakkan politiking berpanjangan serta memastikan rakyat Perlis tidak terus menjadi mangsa kepada ketidakstabilan politik yang boleh merencatkan pentadbiran dan pembangunan negeri.
”Apa pun yang berlaku, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat sepatutnya mengambil pendekatan lebih bijaksana dengan mengadap Tuanku terlebih dahulu bagi menjelaskan kedudukan sebenar dan mencari jalan penyelesaian yang harmoni.
"Namun, apabila keadaan sudah sampai ke tahap bertembung secara terbuka dengan Istana Perlis, maka “nasi sudah menjadi bubur”,” katanya.
Kesimpulannya, dalam jangka panjang, situasi ini tidak menguntungkan Pas. Tanpa hubungan yang baik dan saling menghormati dengan Istana Perlis, Pas berdepan risiko besar untuk terus bergelut dengan masalah keabsahan, kestabilan dan penerimaan di negeri ini.
Hubungan parti–istana yang tegang bukan sahaja akan melemahkan kedudukan politik Pas, malah ia boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap keupayaan Pas mengurus sebuah negeri yang kecil secara berhemah dan berwibawa.
*Adam Mukhriz pernah bertugas di kubah hijau dan merupakan penganalisis sosio politik tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
