Tiga aktiviti perlombongan emas haram di Hutan Simpan Ulu Jelai

Palong yang digunakan untuk aktiviti lombong emas di Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis. (Pix Ihsan: JPNP)
Palong yang digunakan untuk aktiviti lombong emas di Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis. (Pix Ihsan: JPNP)
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya membongkar tiga aktiviti perlombongan emas haram di Hutan Simpan Ulu Jelai, Kuala Lipis.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, hasil rondaan dijalankan di hutan terbabit dalam tempoh itu turut menahan dua individu dan menyita pelbagai peralatan melombong.

Beliau berkata, kejayaan itu hasil daripada aduan penduduk setempat dan rondaan secara kerap dilakukan Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD).

"Pihak JPNP memandang serius aktiviti melombong emas secara haram yang berlaku di daerah itu.

"Jadi, pihak kita akan berusaha membanteras kegiatan berkenaan akan terus dilakukan terutama Hutan Simpan Ulu Jelai dan Hutan Simpan Aur Gading yang sebelum ini memang terkenal dengan aktiviti terbabit.

"Kita juga tidak pernah meninggalkan aktiviti rondaan terutama di kawasan panas di negeri ini walaupun negara kini sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sebelum itu, Mohd Hizamri berkata, rondaan yang dilakukan PHD yang diketuai Pengawas Hutan Baharuddin Ahmad bersama 10 anggotanya telah membongkar satu aktiviti lombong emas haram di Hutan Ulu Jelai, Kuala Lipis, kelmarin.

Menurut beliau, aktiviti terbabit dikesan selepas rondaan dilakukan kira-kira 700 meter daripada kawasan bekas pembalakan secara sah di hutan terbabit.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pemeriksaan dilakukan telah menemui palong, jengkaut, dua unit enjin kuasa elektrik (generator), mesin kimpalan dan 13 tong minyak yang digunakan sindiket untuk mencari emas secara haram.

"Kita percaya sindiket ini telah menggunakan jalan balak yang sedia ada memudahkan pihak terbabit membawa masuk pelbagai peralatan dan jentera bagi mengaburi mata pihak penguatkuasaan.

"Malah, ahli sindiket ini dilihat mempunyai berpengalaman luas berdasarkan kelicikannya menggunakan laluan sedia ada dan sebab itu mereka juga sanggup mengeluarkan modal besar dengan menyediakan pelbagai peralatan termasuk jentera berat kerana hasilnya lumayan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menemui kawasan lombong emas yang sudah ditinggalkan ketika membuat pemeriksaan di Hutan Simpan Aur Gading hasil aduan awam.

Menurutnya, rondaan terbabit dibuat selepas penduduk mendakwa terdapat aktiviti sama dilakukan di kawasan hutan tersebut dan pihak JPNP mempeluaskan rondaan bagi mengesan aktiviti itu.

"Kita terpaksa berjalan kaki sejauh 500 meter berikutan terdapat dua parit besar dibina bagi mengelak berkuasa membuat rondaan.

"Bila sampai di kawasan itu, pihak kita menemui dua bekas tapak lombong yang sudah lama ditinggalkan, tiada sebarang peralatan melombong ditemui," katanya.