Yayasan IOIPG ceriakan sambutan Krismas kanak-kanak Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami

KAJANG – Yayasan IOIPG, cabang kebajikan Kumpulan IOI Properties Group (IOIPG), menyantuni Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami (RKK) di sini menerusi IOIPG Foundation Christmas Wish Tree Event sempena sambutan Krismas.
Kunjungan kali kedua pasukan IOIPG ke RKK itu diserikan dengan penyampaian hadiah daripada yayasan berkenaan serta orang ramai, selain sumbangan bernilai kira-kira RM14,950.
Sumbangan tersebut memberi manfaat kepada 22 kanak-kanak terdiri daripada 10 lelaki dan 12 perempuan berusia antara empat hingga 17 tahun yang berlindung di RKK, selain tujuh orang penjaga mereka.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IOI Properties, Kim Teoh yang merasmikan acara berkenaan menegaskan bahawa pendidikan merupakan elemen penting dalam pembangunan diri dan masa depan individu.
Beliau menggalakkan kanak-kanak terbabit agar memberi tumpuan kepada pelajaran dan berusaha mencapai yang terbaik dalam kehidupan, sambil menekankan bahawa komuniti sentiasa bersedia menyokong serta menyediakan peluang kepada mereka.
Acara tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan tarian oleh kanak-kanak, diikuti nyanyian lagu Krismas yang diketuai St Michael Basic Ecclesial Communities (BECs), Church of Divine Mercy, sekali gus menghidupkan suasana perayaan di rumah jagaan itu.
Selain itu, penyampaian angpau Krismas dan hadiah Wish Tree turut diadakan bagi menunaikan hasrat kanak-kanak yang telah disampaikan kepada pasukan IOIPG.

Hadiah merangkumi barangan pendidikan dan pakaian itu bukan sahaja menceriakan kanak-kanak, malah memberi galakan dalam pembelajaran serta kehidupan seharian mereka sempena musim perayaan.
Pasukan Palm Garden Golf Club, iaitu unit perniagaan di bawah Kumpulan IOI Properties, turut menyediakan jamuan makan tengah hari untuk kanak-kanak berkenaan.
Inisiatif tersebut selari dengan pegangan pengasas IOIPG, mendiang Tan Sri Dr Lee Shin Cheng yang menekankan nilai pendidikan dalam membentuk masa depan generasi muda.
Menerusi Yayasan IOIPG, kumpulan itu kekal komited meneruskan legasi berkenaan dengan memperkasa golongan belia serta memupuk budaya keprihatinan dan amalan memberi dalam kalangan komuniti.
Ringkasan AI
- Yayasan IOIPG menyantuni Pusat Jagaan Rumah Keluarga Kami dengan penyampaian hadiah dan sumbangan RM14,950
- Sumbangan itu memberi manfaat kepada 22 kanak-kanak dan tujuh orang penjaga mereka
- Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan IOI Properties menekankan pentingnya pendidikan untuk pembangunan diri kanak-kanak
- Pelbagai aktiviti seperti persembahan tarian dan nyanyian lagu Krismas diadakan untuk menceriakan suasana
- Inisiatif Yayasan IOIPG ini selaras dengan nilai pendidikan yang ditekankan oleh pengasas kumpulan bagi membentuk masa depan generasi muda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
