Kerajaan digesa kaji semula kuasa pengampunan Agong, Raja-Raja - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengkaji semula perkara dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan struktur asas Perlembagaan kekal, jelas serta terpelihara.

“Perikatan Nasional (PN) berpandangan bahawa kemelut Perlembagaan dan kekeliruan undang-undang yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan Madani sendiri dalam menangani isu kewujudan Titah Adendum sejak awal lagi.

"Sehubungan itu, PN menggesa kerajaan mengkaji semula perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kuasa prerogatif pengampunan bagi memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu serta struktur asas Perlembagaan kekal, jelas dan terpelihara,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching pada Isnin menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, 72, untuk memaksa kerajaan melaksanakan Titah Adendum supaya beliau dapat menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Alice memutuskan bahawa tahanan rumah dalam permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh dilaksanakan kerana tiada peruntukan undang-undang bagi mekanisme itu dijalankan di negara ini.

Ujar Hamzah, PN juga telah melantik peguam bagi mengikuti prosiding kes titah tersebut sebagai peguam pemerhati kerana prihatin dengan kesan prosiding Mahkamah Tinggi itu.

Menurutnya, urusan pengampunan merupakan kuasa prerogatif tertinggi Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang wajib dihormati oleh rakyat.

“PN tidak mahu Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu dilihat sebagai setem getah semata-mata.

Artikel Berkaitan:

“Walhal kuasa Baginda telah dinyatakan secara jelas dalam Laporan Suruhanjaya Reid demi memelihara kuasa dan prestij Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sepertimana yang telah diterjemahkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ketua Hakim Negara dalam kes tersebut memutuskan bahawa kuasa pengampunan merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang bersifat ‘non-justiciable’ (tidak boleh dicabar), sekali gus meletakkannya di luar bidang kuasa semakan kehakiman,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa mengkaji semula Perlembagaan berkaitan kuasa prerogatif pengampunan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu
  • Ketua Pembangkang mengatakan ini untuk memastikan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu kekal terpelihara
  • Perikatan Nasional berpendapat kemelut undang-undang berpunca dari kegagalan kerajaan Madani menangani isu Titah Addendum
  • Hakim Mahkamah Tinggi menolak permohonan bekas Perdana Menteri untuk menjalani baki hukuman di rumah kerana tiada peruntukan undang-undang
  • Kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong dianggap mutlak dan tidak boleh dicabar di mahkamah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!