Kes Anwar, Najib berbeza, Hassan perlu faham asas perundangan - Dr Sathia

Dr Sathia Prakash
Dr Sathia Prakash
A
A
A

SHAH ALAM – Perbandingan dibuat Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim di antara kes pengampunan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan permohonan tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah mengelirukan serta tidak berpaksikan asas perundangan yang betul.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, kedua-dua kes tersebut berbeza sama sekali dari sudut proses undang-undang dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Anwar mendapat pengampunan penuh kerana keputusan itu dibuat secara sah dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Itu fakta undang-undang yang tidak boleh dipertikaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebaliknya, kata Sathia, isu yang dibangkitkan Najib tidak melibatkan keputusan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan, sebaliknya dakwaan wujudnya titah tambahan yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Dakwaan itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam mana-mana mesyuarat rasmi Lembaga Pengampunan,” katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum berkenaan.

Hakim Datuk Alice Loke dalam penghakimannya memutuskan bahawa isu penjara rumah tidak pernah menjadi sebahagian daripada keputusan Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari 2024.

Susulan keputusan itu, Najib diperintah untuk meneruskan baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang.

Sathia berkata, perbezaan inilah yang perlu difahami sebelum sebarang kenyataan dibuat kerana ia melibatkan keluhuran perlembagaan dan kefahaman terhadap prosedur undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Maka, inilah perbezaan utama yang perlu difahami oleh Hassan sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan tiada pihak yang mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong atau Majlis Raja-Raja dalam isu tersebut.

“Mahkamah hanya memutuskan bahawa sesuatu keputusan mestilah dibuat melalui saluran yang sah dan diperuntukkan oleh undang-undang,” jelasnya.

Menurut beliau, Hakim Alice turut menyatakan dengan jelas bahawa konsep penjara rumah tidak diperuntukkan dalam undang-undang jenayah negara pada masa ini.

“Jika ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang, bagaimana ia boleh dianggap sah? Keputusan ini mempertahankan keluhuran perlembagaan dengan memastikan setiap kuasa dilaksanakan mengikut proses yang betul,” katanya.

Dr Sathia turut mengimbas kembali pengampunan penuh yang diterima Anwar pada 2018, yang dibuat selepas Lembaga Pengampunan bersidang dan membuat keputusan secara rasmi.

“Keputusan itu kemudiannya dicabar di mahkamah, namun semua cabaran ditolak oleh Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Menurut beliau, keadaan itu membuktikan bahawa institusi kehakiman menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong selagi ia dibuat mengikut peruntukan perlembagaan.

“Dalam kes Najib, mahkamah mendapati tiada keputusan rasmi Lembaga Pengampunan yang membenarkan tahanan rumah. Justeru, dakwaan kewujudan titah tambahan itu tidak mempunyai asas perundangan.

“Ini isu kesahan prosedur, bukan isu politik, bukan isu sentimen dan bukan isu menghina Raja-Raja Melayu,” tegasnya.

Sathia menyifatkan kenyataan Hassan sebagai tidak tepat dan berpotensi menimbulkan kekeliruan awam terhadap peranan institusi kehakiman serta Raja-Raja Melayu.

“Sebagai seorang peguam, Hassan sepatutnya membaca dan memahami sepenuhnya penghakiman Hakim Alice sebelum membuat kesimpulan besar,” katanya.

Najib kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kemudiannya dikurangkan oleh Lembaga Pengampunan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

 

Ringkasan AI

  • Perbandingan oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang antara kes pengampunan Anwar Ibrahim dan permohonan tahanan rumah Najib Tun Razak mengelirukan dan tidak berasaskan undang-undang yang betul
  • Anwar mendapat pengampunan penuh secara sah daripada Mesyuarat Lembaga Pengampunan dan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong
  • Najib tidak melibatkan keputusan pengampunan oleh Lembaga Pengampunan tetapi dakwaan tentang titah tambahan untuk menjalani baki hukuman di rumah
  • Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib tentang dakwaan titah adendum untuk penjara rumah, Najib terus menjalani hukuman di Penjara Kajang
  • Konsep penjara rumah tidak diperuntukkan dalam undang-undang Malaysia, menguatkan keluhuran Perlembagaan dan prosedur undang-undang yang betul

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!