Bersusah demi masa depan

No Image Caption
A
A
A

Semenjak akhir tahun 2019 yang lalu, masyarakat dunia telah digemparkan dengan kehadiran virus yang mampu membunuh ribuan manusia dalam masa yang teramat singkat.

Virus yang berasal dari bendar raya Wuhan, China ini dikenali sebagai virus Carona atau Covid-19. Pelbagai teori dan tanggapan telah dibuat mengenai punca sebenar bagaimana munculnya virus tersebut.

Ada yang menyatakan virus tersebut berasal daripada makanan yang diambil dan ada juga teori yang menyatakan virus itu adalah rekaan dan ciptaan manusia untuk tujuan yang tertentu. Walau apa pun teori atau andaian yang dibuat mengenai virus tersebut, kaedah penyelesaian perlu difikirkan dengan segera kerana jumlah kematian semakin hari semakin meningkat dalam kalangan penduduk dunia yang dijangkiti virus tersebut.

Setiap negara yang telah atau belum dijangkiti oleh virus itu sedang berusaha dengan sebaik mungkin mencari kaedah terbaik untuk menyekat atau mengubati virus Covid-19. Malaysia juga tidak terkecuali daripada senario ini.

Semenjak tularnya berita penyebaran virus Covid-19 di China, Malaysia telah mengambil pelbagai langkah dan inisiatif pencegahan agar jangkitan virus tersebut dapat disekat daripada merebak di negara ini.

Di antara usaha dan inisiatif terkini yang telah diambil oleh pihak kerajaan Malaysia untuk memastikan virus Covid-19 dapat dibendung daripada merebak di negara ini ialah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pengasingan sosial, penjagaan kebersihan dan kesihatan. Langkah dan inisiatif seperti itu juga dilaksanakan di beberapa buah negara lain seperti China, Amerika Syarikat, Filipina dan yang terkini ialah New Zealand.

Walaupun tindakan dan inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan di negara yang terlibat adalah sama, namun hasilnya adalah berbeza. Negara China yang telah melaksanakan kaedah dan inisiatif tersebut telah menunjukkan kejayaan yang cemerlang apabila China telah membuat deklarasi mereka telahpun bebas daripada serangan wabak virus Covid-19.

Beberapa buah hospital yang telah ditugaskan untuk mengendalikan penyebaran virus Covid-19 telahpun ditutup secara rasmi beberapa minggu yang lepas. Rakyat di negara China telahpun berjaya menjalani kehidupan mereka seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

Namun, keadaan yang amat berbeza di negara Itali. Walaupun negara Itali melaksanakan tindakan yang sama seperti negara China, jumlah kematian atau mereka yang dijangkiti virus Covid-19 meningkat secara mendadak setiap hari. Berdasarkan kepada statistik yang terkini, jumlah kematian di Itali telah melepasi jumlah kematian di negara China disebabkan oleh virus ini. Senario yang hampir sama juga berlaku di Amerika dan beberapa buah negara lain termasuklah negara Malaysia yang tercinta.

Peraturan

Persoalannya mengapa jumlah kematian dan mereka yang dijangkiti oleh virus Covid-19 terus meningkat di negara tersebut termasuk Malaysia, walaupun kerajaan di negara yang terlibat telah mengambil langkah yang sama sepertimana langkah yang diambil oleh negara China?

Jawapan kepada persoalan tersebut dapat dilihat dengan jelas daripada tindakan atau reaksi individu dan masyarakat di negara yang terlibat terhadap peraturan yang dilaksanakan. Rakyat di negara China memandang amat serius terhadap peraturan yang laksanakan oleh kerajaan mereka.

Apabila kerajaan China mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan, semua masyarakat China melaksanakan perintah tersebut secara total. Justeru, semua premis perniagaan di China ditutup dan semua jalan raya lengang. Bandar-bandar besar yang terlibat dengan peraturan tersebut kosong dan sepi seperti tidak ada penghuni.

Rakyat di negara itu rela untuk bersusah dalam masa yang singkat untuk keselamatan dan kesihatan pada masa hadapan.

Keadaan yang amat berbeza berlaku di negara Malaysia. Walaupun pihak kerajaan telahpun mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan dan pengasingan sosial, masih ramai lagi dalam kalangan masyarakat di negara ini mengambil sikap tidak endah terhadap peraturan tersebut.

Ada dalam kalangan masyarakat yang masih berkumpul di warung ataupun mengadakan perjumpaan keluarga ataupun mengadakan percutian keluarga di kampung. Tindakan seperti ini sebenarnya tidak membantu hasrat murni kerajaan untuk membendung virus Covid-19 daripada merebak.

Masyarakat Malaysia seharusnya belajar daripada kesilapan yang dilakukan oleh masyarakat negara Itali yang tidak mengikuti peraturan Perintah Kawalan Pergerakan dan pengasingan sosial secara serius.

Saya yakin, masyarakat Malaysia tidak mahu senario yang terjadi di Itali pada hari ini dialami oleh masyarakat di negara ini.

Oleh yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, seluruh masyarakat Malaysia perlulah lebih serius dan komited untuk merealisasikan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Dua daripada peraturan tersebut yang wajar dilaksanakan secara serius oleh setiap ahli masyarakat di negara ini ialah tidak keluar rumah kecuali jika ada hal yang kritikal dan menjaga kebersihan sepanjang masa.

Untuk memastikan peraturan ini dapat dilaksanakan secara berkesan oleh setiap ahli masyarakat, tindakan tegas perlulah diambil ke atas mereka yang ingkar. Sebarang perundingan dengan mereka yang tidak mengikuti peraturan yang telah ditetapkan tidak akan dilayan sama sekali. Hukuman dan denda serta-merta kepada mereka yang degil mampu untuk memberi pengajaran kepada individu yang lain.

Salah satu daripada rahsia kejayaan negara China keluar daripada belenggu serangan virus Covid-19 ialah rakyat di negara tersebut teramat disiplin mengawal diri mereka untuk patuh kepada peraturan yang dibuat oleh kerajaan mereka. Mereka juga sedar sekiranya mereka ingkar kepada peraturan tersebut, hukuman yang akan diterima juga amat berat.

Oleh yang demikian marilah kita bersama-sama berganding bahu membantu kerajaan merealisasikan segala peraturan untuk membendung penularan virus Covid-19 di negara ini.

Tindakan kita sebagai ahli masyarakat melaksanakan arahan tersebut secara total bukan sahaja mampu mengeluarkan negara daripada belenggu virus Covid-19, tetapi ia juga dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pihak kerajaan, pengawai perubatan, pihak polis dan tentera di negara ini.

Semoga dengan usaha dan komitmen padu daripada setiap ahli masyarakat merealisasikan peraturan pencegahan virus Covid-19 mampu membebaskan negara daripada virus tersebut dalam masa terdekat.

*Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran ialah Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Pakar Sosiologi