Kerajaan campur tangan, selesai isu hak milik strata tertangguh tiga dekad

TAIPING – Penantian hampir tiga dekad pemilik unit Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan di sini untuk mendapatkan hak milik strata menemui jalan penyelesaian apabila kerajaan negeri Perak campur tangan menyelesaikan isu berkenaan.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng berkata, kerajaan negeri melantik Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) sebagai pemilik tanah bagi skim perumahan tersebut sebelum proses pengeluaran hak milik strata dapat dilaksanakan.
Menurutnya, langkah itu diambil selepas syarikat pemaju dan pemilik asal skim perumahan berkenaan digulungkan, sekali gus menyebabkan proses pengeluaran hak milik strata tidak dapat diselesaikan selama hampir 30 tahun.
"Apabila syarikat telah gulung tikar, pengeluaran hak milik strata memang tidak dapat dilaksanakan kerana tiada lagi tuan punya sah bagi tapak ini. Selagi kerajaan negeri tidak campur tangan, isu ini memang tiada penghujungnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Town Hall Skim Rumah Pangsa Taman Bersatu, Kampung Boyan pada Isnin.
Sandrea berkata, skim perumahan berkenaan melibatkan pembangunan perumahan swasta bertingkat yang merangkumi empat blok bangunan setinggi lima tingkat, dengan Blok A dan B menempatkan unit kos rendah manakala Blok E dan F melibatkan unit kos sederhana.
“Secara keseluruhan, terdapat 310 unit kediaman yang telah mula didiami selepas menerima Sijil Kelayakan Menduduki (CF) pada 9 Mei 1994, namun sehingga kini pemilik masih belum menerima hak milik strata masing-masing,” katanya.
Jelas beliau, situasi itu menimbulkan pelbagai kesukaran kepada pemilik unit termasuk urusan pindah milik, penjualan, gadaian serta pewarisan harta.
“Ada pemilik yang sudah mempunyai pembeli, ada juga yang tidak lagi tinggal di sini, namun semua urusan tidak dapat dilaksanakan kerana ketiadaan hak milik strata,” katanya.
Sandrea berkata, proses pengeluaran hak milik strata bagi skim perumahan tersebut dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang Mei 2027, tertakluk kepada kerjasama semua pemilik unit yang terlibat.
“Kita faham ini merupakan satu-satunya aset yang dimiliki oleh kebanyakan penduduk, khususnya bagi unit kos rendah dan kos sederhana. Sebab itu kerajaan negeri melihat keperluan mendesak untuk membantu menyelesaikan isu ini,” katanya.
Beliau menambah, pelantikan LPHP sebagai pemilik tanah diharap dapat membolehkan perancangan dan pelaksanaan tindakan yang lebih tersusun, sistematik dan berkesan, selaras dengan peranan LPHP sebagai agensi perumahan negeri.
Ujarnya, campur tangan kerajaan negeri dalam isu ini merupakan yang pertama seumpamanya dan selari dengan aspirasi Kesejahteraan Sosial dan Keselamatan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
"Kerajaan negeri bukan sahaja memberi tumpuan kepada penyediaan kediaman, malah turut menitikberatkan aspek pembuktian pemilikan hartanah melalui dokumen hak milik demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Ringkasan AI
- Pemilik unit Rumah Pangsa Taman Bersatu di Taiping menunggu hampir tiga dekad untuk mendapatkan hak milik strata
- Kerajaan negeri Perak campur tangan dengan melantik LPHP sebagai pemilik tanah
- Isu berlarutan akibat syarikat pemaju digulungkan, menghalang proses pengeluaran hak milik strata
- Skim perumahan ini melibatkan 310 unit kediaman yang mula didiami sejak 9 Mei 1994
- Proses pengeluaran hak milik strata dijangka selesai menjelang Mei 2027 dengan kerjasama pemilik unit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

