Pelajar kolej ditahan khalwat, kesan tompokan darah ditemui pada selimut

SEGAMAT – Pasangan muda yang baru saling mengenali melalui media sosial ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di sini malam Sabtu, dengan penguat kuasa turut menemukan kesan tompokan darah pada selimut di bilik penginapan mereka.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memaklumkan, serbuan dilakukan kira-kira jam 10.30 malam selepas pasangan terbabit gagal membuka pintu dengan segera ketika diketuk.
“Pintu bilik hanya dibuka lima minit kemudian oleh seorang wanita berpakaian t-shirt dan seluar panjang sambil memegang vape.
“Menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, wanita tersebut cuba menutup pintu namun tidak berjaya.
“Penguat kuasa kemudian memperkenalkan diri sebelum masuk dan meminta wanita itu menyimpan vape berkenaan,” katanya.
Pemeriksaan lanjut menemukan seorang lelaki duduk di atas karpet dalam keadaan gelisah. Kedua-duanya berusia lingkungan 20-an, tidak mempunyai hubungan mahram dan bukan berasal dari daerah ini.
Menurut JAINJ, wanita tersebut merupakan pelajar sebuah kolej di negeri lain dan datang ke Segamat untuk bertemu lelaki berkenaan yang bekerja di daerah ini.
“Dalam pemeriksaan, penguat kuasa menjumpai seluar dalam dan baju dalam wanita di atas kerusi. Keadaan katil dan selimut juga berkedut dan berkecah dipercayai digunakan sebelum ketibaan anggota.
“Turut ditemui satu tompokan darah yang telah kering pada selimut, kira-kira sebesar syiling 50 sen lama. Punca darah tersebut tidak dapat dipastikan,” jelas kenyataan itu.
Selain itu, dua tuala basah serta beberapa barangan peribadi wanita ditemukan di dalam almari, namun tiada pakaian milik lelaki.
Rekod hotel menunjukkan bilik berkenaan disewa atas nama wanita tersebut selama dua hari.
“Ini merupakan hari kedua. Tidak dapat dipastikan sama ada lelaki itu berada bersama sejak semalam atau hanya hadir pada hari kejadian,” menurut JAINJ.
Kedua-duanya akan didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.
Ringkasan AI
- Pasangan muda yang baru kenal melalui media sosial ditahan di hotel kerana disyaki berkhalwat
- Serbuan dijalankan lewat malam selepas mereka lambat membuka pintu
- Wanita itu adalah pelajar kolej dan lelaki tersebut bekerja di daerah itu
- Pemeriksaan di bilik menemukan kesan tompokan darah pada selimut dan barang peribadi
- Kedua-dua individu akan didakwa mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


