Ibu mengaku cederakan anak berusia 11 tahun

Kompleks Mahkamah Seremban
Kompleks Mahkamah Seremban
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya yang berusia 11 tahun sehingga mendatangkan kecederaan fizikal pada Oktober lalu.

Tertuduh, Fatin Nur Diana Zakaria, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan semula di hadapan Hakim Datin Surita Budin pada prosiding keputusan penilaian psikiatri.

Surita memaklumkan, doktor mengesahkan tertuduh layak untuk dibicarakan dan meminta pertuduhan dibacakan semula.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun telah menganiaya mangsa sehingga mengalami kecederaan pada kepala dan lengan.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 5.30 pagi di sebuah rumah pangsa dekat Lobak, di sini, pada 29 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, Peguam Jabatan Bantuan Guaman (JBG), Hanis Anisah Jamiludin memohon satu tarikh lain untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 16 Disember sebagai tarikh bagi fakta hukuman.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang wanita di Seremban mengaku bersalah atas pertuduhan menganiaya anak kandungnya yang berusia 11 tahun
  • Tertuduh, Fatin Nur Diana Zakaria, berusia 31 tahun
  • Kejadian penganiayaan berlaku di sebuah rumah pangsa dekat Lobak, pada 29 Oktober
  • Mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan lengan
  • Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!