Struktur masjid retak akibat hakisan sungai, kariah desak tindakan segera

Hakisan tebing Sungai Keroh yang berlarutan lebih 10 tahun mengancam keselamatan Masjid Amaniah di Kepong.
Hakisan tebing Sungai Keroh yang berlarutan lebih 10 tahun mengancam keselamatan Masjid Amaniah di Kepong.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kariah Masjid Amaniah di Kepong berhadapan risiko keselamatan selepas kawasan masjid itu mengalami hakisan tebing Sungai Keroh sehingga menjejaskan struktur tembok, lantai dan sebahagian kawasan binaan masjid.

Masalah yang dipercayai berlarutan lebih 10 tahun itu menimbulkan kebimbangan, khususnya setiap kali musim hujan lebat apabila aliran air semakin deras dan menyebabkan hakisan semakin membesar sehingga jarak tebing sungai semakin menghampiri struktur masjid.

Pengerusi Masjid Amaniah, Ab Rahim Majid, 66, berkata, keadaan itu menyebabkan beberapa bahagian masjid seperti lantai, pagar, anjung serta kawasan ruang makan mengalami keretakan selain berlaku mendapan tanah.

“Beberapa kali kita menampal lantai, namun tidak bertahan kerana keadaan tanah di bawah sudah kosong. Tembok pagar juga sudah condong dan ini menimbulkan kebimbangan jika berlaku hujan lebat,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata, keadaan itu amat membimbangkan kerana dikhuatiri berlaku runtuhan memandangkan keadaan tanah di bahagian bawah sudah kosong akibat hakisan.

“Kita bimbang apabila musim hujan kerana tidak mengetahui keadaan tanah di bahagian bawah, tambahan pula kawasan itu semak dan terletak di luar pagar masjid,” katanya.

Ab Rahim berkata, aduan rasmi telah dibuat kepada beberapa pihak termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun masih belum ada tindakan diambil.

Dalam pada itu, UMNO Bahagian Kepong turut menyatakan kebimbangan selepas melakukan lawatan tapak bersama Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 1 dan mendapati keadaan hakisan berada pada tahap membimbangkan dengan risiko keselamatan yang serius kepada jemaah.

Ketua Bahagiannya, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya kecewa kerana walaupun aduan telah dibuat sejak bertahun-tahun lalu, tiada tindakan mitigasi dilakukan bagi melindungi tebing sungai dan kawasan masjid.

Artikel Berkaitan:

“Isu ini melibatkan keselamatan nyawa dan maruah institusi keagamaan. Jika tiada tindakan segera, tidak mustahil struktur belakang masjid boleh runtuh pada bila-bila masa,” ujarnya.

UMNO Kepong turut menuntut agar DBKL dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) segera melaksanakan kerja penstabilan tebing termasuk pemasangan penghadang atau sheet pile sebagai langkah kecemasan, selain menggesa MAIWP menyalurkan peruntukan segera bagi pembinaan tembok penahan kukuh sebagai penyelesaian jangka panjang.

Abdul Razak turut menggesa Ahli Parlimen Kepong turun padang dan membawa isu tersebut ke Parlimen bagi memastikan tindakan segera diambil oleh semua agensi terlibat.

“UMNO Kepong memberi jaminan akan terus memantau perkembangan isu berkenaan dan berdiri bersama kariah Masjid Amaniah sehingga keselamatan masjid dan jemaah terjamin sepenuhnya,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kariah Masjid Amaniah di Kepong berhadapan risiko keselamatan akibat hakisan tebing Sungai Keroh
  • Masalah hakisan berlarutan lebih 10 tahun & semakin teruk setiap kali musim hujan lebat
  • Struktur masjid termasuk lantai dan tembok pagar mengalami keretakan dan condong
  • Aduan telah dibuat kepada MAIWP, Jawi, dan DBKL namun tiada tindakan telah diambil
  • UMNO Kepong mendesak tindakan segera termasuk kerja penstabilan tebing dan pembinaan tembok penahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!