MB Pahang tinjau situasi banjir melalui udara

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail melakukan tinjauan udara bagi melihat sendiri keadaan semasa banjir di sekitar negeri ini khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko dan terjejas.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai melalui satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Ahad.
Menurutnya, tinjauan udara tersebut dilakukan bersama Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar bagi melihat gambaran keseluruhan keadaan banjir.
"Di kesempatan ini patik merafak sembah dan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah atas perkenan menitahkan patik meninjau keadaan banjir menggunakan helikopter milik Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku," katanya pada Ahad.
Beliau memberitahu, hasil tinjauan ini membolehkan kerajaan negeri menilai situasi sebenar di lapangan.
Ujarnya, langkah berkenaab membolehkan penyelarasan tindakan susulan diambil dengan lebih pantas dan berkesan bersama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
"Meskipun keadaan banjir semakin bertambah baik, saya mengingatkan agar rakyat Pahang terus berwaspada kerana kita masih lagi berada dalam Monsun Timur Laut.
"Kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan semasa dan komited untuk mengambil segala langkah perlu demi kesejahteraan rakyat," katanya.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Pahang melakukan tinjauan udara melihat keadaan banjir Tinjauan dilakukan bersama Setiausaha kerajaan negeri
- Sultan Pahang meminjamkan helikopter untuk tinjauan
- Tinjauan membolehkan kerajaan menilai situasi sebenar banjir
- Langkah tersebut membantu tindakan susulan diambil dengan lebih pantas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

