Johari gesa kediaman penduduk Kampung Sungai Baru disiapkan ikut tempoh dijanjikan

Johari melawat reruai pada majlis Pelancaran Citrawarna Kampong Bharu 125 Tahun anjuran Kelab Belia Kampong Bharu di Pintasan Saloma Kampung Bharu hari ini. - Foto: Bernama
Johari melawat reruai pada majlis Pelancaran Citrawarna Kampong Bharu 125 Tahun anjuran Kelab Belia Kampong Bharu di Pintasan Saloma Kampung Bharu hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menggesa pemaju projek pembangunan semula kawasan Kampung Sungai Baru di sini supaya menyiapkan kediaman baharu mengikut tempoh yang dijanjikan.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata terdapat penduduk di kawasan itu yang telah berpindah daripada kediaman asal tetapi mendakwa masih belum menerima pampasan sewajarnya.

"Penduduk mengharapkan rumah itu sebagai pampasan, tetapi apabila rumah tidak siap, timbul masalah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Citrawarna Kampong Bharu 2025 sempena sambutan 125 tahun Kampung Bharu anjuran Kelab Belia Kampung Bharu di sini hari ini.

Menurut Johari, terdapat juga penduduk yang mendakwa semasa menandatangani perjanjian pembangunan semula di Kampung Sungai Baru, mereka menandatanganinya dengan sebuah syarikat tetapi syarikat berkenaan difahamkan telah menjual sebahagian kepentingannya kepada pemaju baharu.

"Itu juga satu perkara yang sedang diperhatikan, iaitu apa masalah yang mungkin timbul sekiranya projek gagal disiapkan. Siapa yang perlu bertanggungjawab - syarikat lama atau syarikat baharu - ini semua telah ditetapkan dalam perjanjian lapan tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Johari berkata, beliau telah meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur menumpukan pembangunan dua blok kediaman terlebih dahulu untuk membolehkan pemilik tanah tradisi kembali ke kawasan asal mereka.

Projek pembangunan semula kawasan itu secara rasmi dimulakan pada 30 Nov lepas dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) ketika itu, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, unit kediaman baharu itu berkeluasan antara 900 hingga 1,200 kaki persegi, dilengkapi tiga bilik dan tiga bilik air yang jauh lebih selesa berbanding kediaman asal.

Zaliha turut mengumumkan beberapa insentif yang dipersetujui pemaju, termasuk caj penyelenggaraan percuma bagi tahun pertama, disusuli diskaun 70 peratus dari tahun kedua hingga tahun ke-10.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, dalam ucapannya, Johari berkata, Citrawarna Kampong Bharu 2025, hasil kerjasama OMNI Holding, Perbadanan Kampung Bharu, Jabatan Wilayah Persekutuan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, akan dijadikan acara tahunan untuk mengangkat kawasan unik itu sebagai destinasi pelancongan warisan bagi pelancong domestik dan antarabangsa.

Pelbagai pengisian menarik diketengahkan sepanjang penganjuran kali kedua yang bermula semalam hingga hari ini, antaranya Larian Rona Kampong Bharu yang disertai 482 peserta, jualan makanan tradisional, persembahan kebudayaan, serta aktiviti kemasyarakatan yang mencerminkan identiti unik Kampung Bharu. - Bernama

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menggesa pemaju menyiapkan kediaman baharu di Kampung Sungai Baru mengikut tempoh yang dijanjikan
  • Penduduk berpindah tetapi belum menerima pampasan sewajarnya
  • Ada perubahan pemaju projek akibat penjualan kepentingan syarikat asal kepada pemaju baharu
  • Projek pembangunan semula dijangka siap dalam tempoh empat tahun dengan unit kediaman 900 hingga 1,200 kaki persegi
  • Pemaju menawarkan insentif seperti caj penyelenggaraan percuma untuk tahun pertama dan diskaun 70% dari tahun kedua hingga tahun ke-10

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!