Jangan politikkan isu kelewatan bantuan banjir - Sultan Pahang

Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SK Bunut Rendang di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SK Bunut Rendang di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Rakyat dinasihatkan agar tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) khususnya pada hari awal bencana.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kelewatan bantuan berlaku kerana banjir datang secara mendadak dan menyukarkan proses penyelarasan.

Baginda menegaskan, ia bukan disengajakan dan semua pihak telah berusaha sedaya upaya untuk membantu mangsa.

“Cuma hari pertama ada kelewatan, bukanlah disengajakan dan saya harap kita jangan politikkan kelewatan pada hari itu (hari pertama di PPS) kerana terdapat banyak masalah tersendiri.

Al-Sultan Abdullah menasihatkan rakyat agar tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir di PPS. - Foto Sinar Harian
Al-Sultan Abdullah menasihatkan rakyat agar tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir di PPS. - Foto Sinar Harian

"Mereka ini (petugas) terkejut apabila banjir berlaku dengan sekelip mata dan alhamdulillah saya harap ini tidak akan berlaku di masa-masa akan datang," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bunut Redang di sini pada Sabtu.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar Pahang, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail dan kepimpinan barisan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Al- Sultan Abdullah memaklumkan, baginda turut melakukan tinjauan udara bersama Wan Rosdy di beberapa kawasan terjejas di sepanjang Sungai Pahang,

Baginda bertitah, kebanyakan kawasan yang dilanda banjir telah pulih sepenuhnya, namun masih terdapat beberapa jalan terputus iaitu di Pulau Manis dan Bukit Kenau, Sungai Lembing.

"Ahamdulillah, kita terus berdoa. Rakyat Pahang kena terus berdoa ke hadrat ALLAH supaya kita memohon cuaca bertambah baik dan bencana banjir ini dapat diatasi dengan sebaik mungkin," titah baginda.

Dalam pada itu, Al- Sultan Abdullah turut menasihatkan penghuni PPS agar menjaga keselamatan diri dan keluarga khususnya kanak-kanak selain menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan penyakit berjangkit seperti influenza, Covid-19 serta denggi.

Baginda juga berharap, semua pihak dapat bekerjasama menjaga kemudahan awam termasuk tandas agar persekitaran PPS sentiasa bersih dan selamat.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah mengingatkan semua pihak agar bersedia menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya yang dijangka berlaku minggu hadapan.

Baginda turut menasihatkan mangsa agar tidak tergesa-gesa meninggalkan PPS.

“Saya menyeru rakyat agar terus bersabar, memperkukuh doa dan kebergantungan kepada ALLah dalam menghadapi dugaan ini.

"Kesabaran adalah sebahagian daripada iman dan doa kita adalah sebahagian daripada ibadah kita,” titah baginda.

Ringkasan AI

  • Rakyat dinasihatkan agar tidak mempolitikkan isu kelewatan bantuan makanan kepada mangsa banjir
  • Kelewatan bantuan berlaku kerana banjir datang secara mendadak
  • Kelewatan bukan disengajakan dan semua pihak berusaha membantu mangsa
  • Sultan Pahang berharap kejadian serupa tidak berlaku lagi dan meminta rakyat bersabar
  • Mangsa banjir dinasihatkan menjaga keselamatan dan kebersihan serta bersedia menghadapi kemungkinan gelombang banjir seterusnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!