MB santuni mangsa banjir di 2 PPS

KUANTAN- Nasib mangsa-mangsa banjir di negeri ini terus mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Antara yang disantuni pemimpin itu, mangsa-mangsa banjir di daerah Bera yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Bukit Gemuruh dan Masjid Kampung Mengkarak.
Lawatan beliau pada Ahad itu dikongsi melalui hantaran di Facebooknya.
"Saya ke PPS Kampung Bukit Gemuruh dan PPS Masjid Kampung Mengkarak, Bera bagi menyantuni penduduk yang terjejas akibat banjir.
Saya berkesempatan bertanya khabar, melihat sendiri keadaan mangsa serta memastikan keperluan asas seperti makanan, kebajikan dan keselesaan penghuni PPS berada pada tahap yang sebaiknya," ujarnya melalui hantaran itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu turut menasihatkan rakyat Pahang agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.
"Kerajaan Negeri terus komited dalam dalam kebajikan rakyat dan akan menyalurkan bantuan sewajarnya dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sebelum itu, Wan Rosdy sempat melakukan tinjauan udara bagi melihat sendiri keadaan semasa banjir di sekitar negeri ini khususnya di kawasan yang dikenal pasti berisiko dan terjejas.
Menurutnya, tinjauan udara tersebut dilakukan bersama Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar bagi melihat gambaran keseluruhan keadaan banjir.
Ujarnya, langkah itu membolehkan penyelarasan tindakan susulan diambil dengan lebih pantas dan berkesan bersama agensi-agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
Sementara itu, sehingga jam 8 pagi pada Isnin, seramai 580 mangsa banjir daripada 167 keluarga masih berada di lapan PPS yang masih dibuka melibatkan lima daerah, Kuantan, Pekan, Bera, Maran dan Temerloh.
Ringkasan AI
- Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi perhatian kepada mangsa-mangsa banjir di negeri itu
- Beliau melawat pusat pemindahan sementara di daerah Bera untuk menyantuni mangsa banjir
- Wan Rosdy menasihatkan rakyat Pahang agar berwaspada dan mengikuti arahan pihak berkuasa
- Beliau melakukan tinjauan udara untuk melihat keadaan banjir dan mengkoordinasikan tindakan susulan
- Sebanyak 580 mangsa banjir masih berteduh di lapan PPS melibatkan lima daerah di Pahang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

