Suami orang dakwa dalam proses cerai, dicekup berkhalwat bersama janda

Seorang lelaki berstatus suami orang dan wanita berstatus janda dicekup penguat kuasa JAINJ selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah teres di Johor Bahru awal pagi Jumaat.
Seorang lelaki berstatus suami orang dan wanita berstatus janda dicekup penguat kuasa JAINJ selepas disyaki berkhalwat di sebuah rumah teres di Johor Bahru awal pagi Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki berstatus suami orang dan seorang wanita berstatus janda dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat pada Jumaat.

Menurut laman Facebook Lampu Suluh Banteras Maksiat JAINJ, pasangan itu ditahan kira-kira jam 1.20 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di sekitar bandar raya ini.

“Sepasukan penguat kuasa bergegas ke lokasi dan mendapati pintu pagar rumah berkunci serta keadaan luar gelap, namun sebuah kereta milik wanita dan sebuah motosikal yang disyaki milik lelaki terbabit berada di dalam kawasan rumah berkenaan.

“Dua anggota kemudiannya ditugaskan mengawal bahagian belakang rumah bagi mengelakkan cubaan melarikan diri, manakala pemeriksaan dibuat di bahagian hadapan.

“Pintu rumah dibuka kira-kira 10 minit kemudian oleh seorang wanita berpakaian kain batik, berbaju dan bertudung sebelum penguat kuasa memperkenalkan diri serta menjalankan pemeriksaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan sama, pemeriksaan di ruang tamu mendapati lampu terpasang dan terdapat tilam diletakkan di hadapan televisyen.

Keadaan itu turut menimbulkan syak bahawa pasangan terbabit telah berada di rumah berkenaan sebelum ketibaan penguat kuasa.

“Pemeriksaan lanjut di tingkat bawah termasuk bilik dan dapur tidak menemukan individu lain sebelum pemeriksaan diteruskan ke tingkat atas rumah yang akhirnya menemukan seorang lelaki berpakaian seluar panjang dan baju T bersembunyi di dalam sebuah bilik.

“Siasatan awal mendapati kedua-duanya mengaku tidak mempunyai hubungan mahram atau ikatan pernikahan, di mana wanita terbabit merupakan janda berusia lingkungan 40-an yang tinggal seorang diri dan bekerja di Johor Bahru, manakala lelaki berkenaan pula berstatus suami orang, juga berusia lingkungan 40-an dan berasal dari Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa sama, lelaki itu mendakwa sedang dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah, namun belum diputuskan bercerai,” katanya.

Pasangan terbabit kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor kerana kesalahan khalwat.

Ringkasan AI

  • Seorang suami orang dan seorang janda ditangkap disyaki berkhalwat di Johor Bahru
  • Pasangan itu ditahan di rumah teres dua tingkat pada jam 1.20 pagi
  • Pintu rumah dibuka oleh wanita berpakaian kain batik, bertudung setelah penguat kuasa tiba
  • Lelaki itu ditemukan bersembunyi di tingkat atas rumah
  • Kedua-dua mengaku tidak mempunyai hubungan mahram dan kes disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!