Isteri orang, warga asing separuh abad dicekup di bilik hotel

KLUANG — Seorang wanita berstatus isteri orang bersama seorang lelaki warga Indonesia dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel sekitar bandar ini pada Rabu.
Menurut JAINJ, serbuan kira-kira jam 1.20 pagi itu dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat dan intipan dijalankan sebelum ini.
"Pintu bilik berkenaan dibuka oleh seorang lelaki berusia 50-an yang berpakaian lengkap. Lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.
"Pemeriksaan lanjut di dalam bilik menemui seorang wanita, juga berusia 50-an yang bekerja dan tinggal di Kluang. Berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan masih mempunyai suami walaupun tidak lagi tinggal sebumbung," katanya dalam kenyataan.
Tambahnya lagi, pasangan berkenaan mengaku mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram.
"Hasil siasatan mendapati wanita terbabit tiba di hotel berkenaan kira-kira jam 8 malam dengan menaiki kereta, manakala lelaki tersebut tiba beberapa jam kemudian dengan motosikal selepas kedua-duanya dikatakan mengatur pertemuan melalui aplikasi sosial.
"Walaupun pasangan berkenaan mendakwa hanya berbincang hal perniagaan di dalam bilik, keadaan bilik dan keterangan yang diberikan menimbulkan syak munasabah berlaku perbuatan tidak bermoral," ujarnya lagi.
Kedua-dua mereka dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor berkaitan kesalahan berkhalwat.
Ringkasan AI
- Seorang wanita berstatus isteri bersama lelaki warga Indonesia ditangkap kerana berkhalwat di hotel di Kluang
- Serbuan dilakukan selepas pihak berkuasa menerima maklumat dan melakukan intipan
- Lelaki berusia 50-an cuba melarikan diri semasa pintu bilik dibuka tetapi berjaya ditahan
- Pasangan tersebut mengaku mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram
- Mereka disiasat di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

