Street atau book smart, akhlak penting

MINGGU lalu negara kecoh dengan isu jemputan seorang pempengaruh yang merasmikan satu program di sekolah.
Perkara yang dikecohkan ialah latar belakang individu yang dijemput itu tidak memiliki pendidikan yang tidak tinggi.
Sedangkan ada yang berpendapat sekolah sepatutnya menonjolkan tokoh-tokoh yang mempunyai kredibiliti dan berpendidikan tinggi supaya menjadi contoh baik kepada pelajar.
Mungkin pihak sekolah ada alasan tersendiri mereka memilih pempengaruh itu untuk datang merasmikan majlis yang mereka adakan itu.
Atau mungkin juga kerana dia merupakan seseorang yang telah menyumbang bakti kepada sekolah maka pempengaruh ini dijemput untuk masuk ke institusi pendidikan tersebut.
Dalam kehidupan ini kita kena terima bahawa kelayakan akademik tidaklah menjamin seseorang itu berjaya pada masa depan tetapi ia tetap penting sebagai asas untuk membentuk seorang manusia.
Jadi istilah yang popular bagi menggambarkan kedua-dua aliran ini ialah street smart dan book smart.
Street smart merujuk kepada individu yang berjaya menerusi pengalaman hidup, sementara book smart berjaya kerana pengetahuan akademik yang mereka ada.
Saya rujuk ChatGPT dan menyenaraikan individu yang tergolong sebagai street smart dan antara mereka ialah Malcom X yang merupakan seorang tokoh masyarakat kulit hitam di Amerika Syarikat (AS).
Selain itu, selebriti televisyen AS, Oprah Winfrey yang membesar dalam kemiskinan dan mengalami penderaan pada usia muda, menjadi seorang individu yang sangat berpengaruh.
Ahli perniagaan terkemuka di China, Jack Ma pula merupakan seorang yang gagal banyak kali dalam peperiksaan dan permohonan kerja, malah tiada pengetahuan dalam bidang teknologi.
Namun beliau memahami keperluan peniaga kecil dan tingkah laku pengguna China serta mahir membina hubungan, meyakinkan pelabur malah menyesuaikan strategi dengan realiti pasaran tempatan dan akhirnya berjaya membina empayar Alibaba.
Ramai lagi insan di sekeliling kita yang ada dalam kategori street smart dan mereka telah berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa yang penting ialah pengakhiran seseorang itu dan bukan bagaimana permulaan hidup mereka.
Tanpa mendewa-dewakan golongan street smart secara berlebihan, bagi saya formula penting untuk berjaya dalam kehidupan sudah tentulah bermula dengan akademik.
Malah ayat pertama al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW ialah lima ayat pertama daripada Surah Al-’Alaq, bermula dengan ‘Iqra’ bismi rabbikallazi khalaq yang bererti ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan’ yang disampaikan oleh Malaikat Jibril di Gua Hira’.
Ayat-ayat ini mengandungi perintah pertama untuk membaca dan mengiktiraf penciptaan ALLAH, menandakan permulaan wahyu al-Quran.
Permulaan ayat ‘Bacalah’ itu juga membawa pengertian bahawa ilmu merupakan perkara paling penting dalam kehidupan yang akhirnya dapat membentuk manusia untuk jadi lebih sempurna.
Dan yang paling penting tidak kiralah sama ada seseorang itu dalam kategori street smart atau book smart, akhlak yang tinggi sahajalah akan menaikkan darjat insan serta dipandang mulia orang.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
