JPJ sita kereta mewah pempengaruh ikut SOP, tiada kompromi isu insurans, LKM tamat tempoh

KUALA LUMPUR - Tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita kenderaan mewah milik seorang pempengaruh yang tular di media sosial adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan - peraturan yang ditetapkan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, tindakan sitaan dibuat kerana kenderaan terbabit didapati tidak mempunyai perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sekali gus berisiko tinggi kepada pengguna jalan raya lain.
"Dia bawa kereta LKM tamat tempoh, tak ada insurans kalau berlaku apa-apa, anak dia, keluarga dia, insurans tak akan lindungi. Kalau berlaku pada orang lain pula macam mana?
"Ketiadaan perlindungan insurans adalah kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan nyawa manusia," katanya dalam sidang akhbar Ops Luxury Bilangan 4, di Depoh Sitaan, JPJ Kuala Lumpur, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, tindakan segera lebih wajar diambil berbanding membiarkan kenderaan berisiko terus berada di jalan raya.
“Lebih baik kita ambil tindakan sekarang daripada menyesal kemudian hari, kereta itu langgar pula orang awam yang lain,” katanya.
Mengulas dakwaan pempengaruh berkenaan yang meminta budi bicara, Aedy Fadly menegaskan JPJ tidak boleh berkompromi dalam isu keselamatan.
“Kita tak boleh kompromi dengan isu-isu keselamatan. Tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai JPJ adalah mengikut prosedur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, JPJ masih memberi kelonggaran bagi kesalahan kecil.
“Kalau setakat kesalahan biasa seperti nombor pendaftaran 'fancy' atau aksesori, kita boleh lepaskan.
"Tetapi bila melibatkan insurans, itu isu besar kerana ia akan melibatkan orang lain jika berlaku kemalangan,” katanya.
Dalam pada itu, Aedy Fadly menegaskan, semua tindakan penguatkuasaan dibuat berpandukan garis panduan, peraturan dan prosuder yang ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang pempengaruh meluahkan keluhan selepas kenderaannya disita JPJ walaupun sudah memohon simpati dan budi bicara daripada pihak berkuasa.
Ringkasan AI
- JPJ menyita kenderaan mewah seorang pempengaruh kerana tiada perlindungan insurans dan LKM tamat tempoh
- Ketidakadaan insurans adalah kesalahan serius yang melibatkan risiko kepada nyawa manusia
- Tindakan segera diambil untuk mengelakkan risiko kenderaan berisiko di jalan raya
- JPJ tidak boleh berkompromi dengan isu keselamatan dan mengikuti SOP yang ditetapkan
- Kelonggaran diberikan untuk kesalahan kecil tetapi tidak untuk isu berkaitan insurans
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
