Bekalan beras negara masih mencukupi

Ronald (tengah) melawat Gudang Bernas Jasa di Pelabuhan Klang pagi tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ronald (tengah) melawat Gudang Bernas Jasa di Pelabuhan Klang pagi tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menafikan laporan yang menyatakan bahawa jumlah stok beras negara hanya mampu bertahan selama dua bulan setengah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, stok semasa beras tempatan yang berada di peringkat kilang, pemborong dan peruncit masih stabil, terkawal serta konsisten dengan bekalan sebanyak 523,000 tan metrik.

Menurutnya, jumlah bekalan itu tidak mengambil kira stok pengeluaran beras tempatan dan beras import yang berada dalam negara.

"Buat masa ini, import beras juga tidak terjejas dan berjalan seperti sedia kala.

"Selain Vietnam, beras turut diimport dari negara-negara pengeluar lain seperti Thailand, Pakistan, Myanmar, India, Cambodia dan lain-lain," katanya menerusi satu kenyataan media di sini hari ini.

Ronald (tengah) melawat Gudang Bernas Jasa di Pelabuhan Klang pagi tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ronald (tengah) melawat Gudang Bernas Jasa di Pelabuhan Klang pagi tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Dalam pada itu, Ronald berkata, kerajaan turut mengarahkan Syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas) untuk memastikan dan mempertingkatkan bekalan beras import dalam negara.

Begitupun katanya, kebergantungan kepada beras import hanya 30 peratus daripada keseluruhan keperluan dalam negara.

Artikel Berkaitan:

“Dengan mengambil kira jumlah stok semasa pengeluaran beras tempatan dan import adalah stabil, terkawal dan konsisten bagi menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

“Malah kementerian juga akan terus memantau bagi memastikan bekalan beras sentiasa mencukupi untuk menampung keperluan bulanan negara sebanyak 200,000 tan metrik dan orang ramai dinasihati agar tidak bimbang dengan keadaan stok beras dalam negara ketika ini,” jelasnya.