Covid-19: Thailand catat 109 kes baharu, satu kematian

Thailand telah mengisytiharkan perintah darurat bermula tengah malam 26 Mac hingga 30 April bagi mengekang pandemik Covid-19 di negara itu. Foto: Xinhua
Thailand telah mengisytiharkan perintah darurat bermula tengah malam 26 Mac hingga 30 April bagi mengekang pandemik Covid-19 di negara itu. Foto: Xinhua
A
A
A

BANGKOK - Thailand hari ini melaporkan sejumlah 109 kes baharu Covid-19 dan satu kematian menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 1,245 kes dan enam kematian.

Pakar kanan Perubatan Pencegahan di Jabatan Kawalan Penyakit Dr Anupong Sujariyakul berkata, kematian terkini membabitkan seorang wanita rakyat Thailand berusia 55 tahun yang menghidap penyakit kencing manis dan mendapatkan rawatan pada 23 Mac.

Daripada 109 kes baharu yang dilaporkan, beliau berkata 39 mempunyai kaitan dengan jangkitan sebelum ini, 17 membabitkan dua petugas perubatan, lapan melakukan perjalanan ke luar negara dan bekerja di kawasan sesak manakala tujuh mempunyai kontak rapat dengan warga asing.

Beliau berkata, sejumlah 53 kes baharu adalah dari kluster tidak diketahui dan pihak berkuasa sedang menyiasat sumber jangkitan.

“Daripada sejumlah 1,245 kes, 534 dilaporkan di Bangkok, 144 kes di lima wilayah berhampiran Bangkok (Samut Prakarn, Samut Sakhon, Nakhon Pathom, Nonthaburi dan Pathumthani), 79 kes di selatan Thailand (Yala, Pattani, Narathiwat dan Songkhla) manakala 488 kes di wilayah-wilayah lain.

“Setakat ini, 100 pesakit telah dibenarkan keluar dari hospital manakala 1,139 masih dirawat termasuk 17 yang berada dalam keadaan serius,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 di sini hari ini.

Anupong berkata tiga kluster utama Covid-19 di Thailand ialah pusat hiburan, perlawanan tinju dan perhimpunan tabligh di Malaysia.

Susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di selatan Thailand yang terjejas akibat keganasan, gabenor wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani telah mengeluarkan arahan keras termasuk menghalang keluar masuk orang ramai dalam usaha membendung penularan wabak itu.

Artikel Berkaitan:

Semalam, seorang lelaki berusia 50 tahun dari wilayah Narathiwat yang menghadiri perhimpunan tabligh di Kuala Lumpur bulan lepas, meninggal dunia.

Sementara itu, jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi bagi COVID-19 Thailand (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin menggesa orang ramai agar mematuhi dengan ketat semua langkah bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

“Tolong duduk di rumah dan jagalah jarakan sosial. Kita mesti mencapai sekurang-kurangnya 90 peratus daripada kesemua langkah ini bagi memperlahankan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Sementara itu, seorang pakar perubatan meramalkan bahawa kes Covid-19 di Thailand boleh mencecah angka 2,000 dalam tempoh dua minggu akan datang atau lebih awal susulan tindakan wargakota meninggalkan Bangkok secara besar-besaran selepas penutupan venue awam utama, termasuk pusat membeli-belah, pusat hiburan dan venue sukan.

Dekan Fakulti Perubatan di Hospital Siriraj, Universiti Mahidol iaitu Dr Prasit Watanapa berkata, meskipun mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk memakai penutup hidung dan mulut serta menggunakan cecair pembasmi kuman, orang ramai masih berdepan risiko menyebarkan dan dijangkiti virus berbahaya itu.

Ketika itu beliau berkata, Thailand mungkin tidak mempunyai petugas yang mencukupi bagi merawat kemasukan beramai-ramai pesakit.

“Ketika ini, nisbah doktor di Bangkok ialah seorang bagi setiap 800 pesakit. Di wilayah lain, terutama di timur laut Thailand, seorang doktor terpaksa merawat sehingga 3,000 pesakit. Oleh itu, kadar kematian selain jumlah pesakit boleh meningkat dengan ketara," katanya seperti dipetik Bangkok Post.

Thailand telah mengisytiharkan perintah darurat bermula tengah malam 26 Mac hingga 30 April bagi mengekang pandemik Covid-19 di negara itu.- Bernama