Global Sumud Flotilla: Kapal dijangka masuk zon merah pada Khamis

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF) dijangka memasuki zon merah dan menghampiri Gaza pada Khamis ini.
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, ketika ini flotilla berada kira-kira 366 batu nautika dari pesisir Gaza dan dijangka memasuki zon kuning pada 9.18 malam waktu Malaysia.
"SNCC menjangkakan misi bakal berdepan dengan sedikit kelewatan dan kita mula masuk zon merah Gaza pada Khamis.
"Jadi saya menafikan ramalan yang dibuat bahawa kapal ini akan masuk pada esok hari. Saya faham ramai pendukung membuat analisa sendiri tetapi saya mohon supaya mereka mendapatkan maklumat semasa dan tepat daripada SNCC," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Malaysia pada Isnin.
Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Mapim turut menafikan dakwaan berhubung kononnya terdapat sebuah kapal delegasi misi tersebut terbakar.
“Sehingga kini, tidak ada kapal terbakar seperti yang didakwa. Semua 34 delegasi Malaysia berada dalam keadaan baik dan selamat di atas kapal masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, setakat ini keadaan keselamatan flotilla berada dalam kawalan dengan tiada sebarang aktiviti dron dikesan sejak dua hari lalu, selain turut mendapat pemantauan daripada kapal frigat Sepanyol dan Itali di perairan antarabangsa.
Tegasnya, semua pihak diminta merujuk SNCC sebagai sumber maklumat rasmi bagi mengelakkan kekeliruan serta penyebaran propaganda pihak Zionis.
"Pihak kami menggesa semua penyokong, media, keluarga, peserta dan masyarakat untuk terus mendokong, menjadi penguat semangat serta tidak terpengaruh dengan cubaan untuk melemahkan barisan solidariti antarabangsa ini.
“Misi ini tetap diteruskan ke Gaza insya-ALLAH, dan laporan rasmi akan dikeluarkan setiap hari supaya masyarakat mendapat maklumat tepat dan terkini,” menurutnya.
Ringkasan AI
- Kapal misi Global Sumud Flotilla dijangka menghampiri Gaza pada Khamis ini
- Flotilla berada kira-kira 366 batu nautika dari pesisir Gaza dan akan memasuki zon kuning
- SNCC menafikan kapal delegasi misi terbakar dan mengesahkan semua 34 delegasi Malaysia dalam keadaan baik
- Keadaan keselamatan flotilla berada dalam kawalan dan mendapat pemantauan dari kapal frigat Sepanyol dan Itali
- SNCC menggesa untuk mendapatkan maklumat tepat dan semasa dari mereka untuk mengelak kekeliruan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

