Datuk Bandar Medan pulangkan 30 tan beras dari UAE

JAKARTA – Pemerintah Bandar Raya Medan mengambil keputusan memulangkan bantuan kemanusiaan berupa 30 tan beras yang diterima daripada Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) susulan arahan Kerajaan Pusat supaya bantuan bencana di wilayah Sumatera diuruskan secara dalaman tanpa melibatkan pihak asing buat masa ini.
Datuk Bandar Medan, Rico Tri Putra Bayu Waas berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pihaknya menjalankan perbincangan dan penyelarasan dengan kementerian berkaitan serta Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB).
Menurut beliau, Kerajaan Pusat menetapkan bahawa semua bentuk bantuan bencana di Sumatera hendaklah diuruskan secara sendiri bagi memastikan keselamatan, penyelarasan logistik serta dasar negara terus terpelihara.
“Kami memulangkan bantuan ini kepada Emiriah Arab Bersatu kerana Kerajaan Pusat belum menerima bantuan daripada pihak asing ketika ini. Maka, bagi pihak Kota Medan, bantuan tersebut tidak dapat diterima,” katanya ketika meninjau sebuah pasar raya di Medan Barat, Khamis.
Rico menjelaskan, selepas bantuan itu diterima secara simbolik pada 12 Disember lalu, pihak berkuasa tempatan segera menyemak aspek perundangan dan garis panduan berkaitan melalui BNPB dan Kementerian Pertahanan.
Hasil semakan mendapati, Kerajaan Pusat mengeluarkan arahan jelas supaya semua urusan bantuan bencana di Sumatera dikendalikan sepenuhnya oleh agensi tempatan tanpa penglibatan antarabangsa buat sementara waktu.
“Intinya, setelah disemak dari sudut peraturan dan penyelarasan, bantuan luar negara ini ditangguhkan penerimaannya,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Duta Besar UAE, Shaima Al Hebsi, telah menyerahkan bantuan tersebut di pusat operasi kebajikan di Medan.
Selain 30 tan beras, bantuan lain yang dipulangkan turut merangkumi 300 pek barangan keperluan asas, 300 set keperluan bayi serta 300 set kelengkapan ibadah.
Walaupun bantuan itu bernilai tinggi dan amat diperlukan, kerajaan bandar Medan memilih untuk mematuhi sepenuhnya dasar Kerajaan Pusat demi memastikan pengurusan bencana kekal selaras dengan kepentingan nasional dan keselamatan logistik.
Sementara itu, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, sebelum ini memaklumkan bahawa beberapa pemimpin dunia telah menghubunginya untuk menawarkan bantuan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Sumatera.
Namun, beliau menegaskan Indonesia masih berupaya mengendalikan situasi tersebut menggunakan kekuatan sendiri.
“Ramai pemimpin negara menawarkan bantuan, namun saya ucapkan terima kasih dan menyatakan bahawa Indonesia masih mampu mengatasinya,” kata Prabowo ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Istana Negara, 15 Disember lalu.
Beliau menambah, kekuatan TNI, Polis Indonesia, BNPB dan Basarnas, selain penggunaan puluhan helikopter serta pesawat pengangkut, membuktikan keupayaan negara menangani bencana secara berdikari. - Agensi
Ringkasan AI
- Pemerintah Bandar Raya Medan memulangkan bantuan kemanusiaan dari UAE menurut arahan Kerajaan Pusat
- Kerajaan Pusat menetapkan urusan bantuan bencana di Sumatera diuruskan secara dalaman
- Bantuan yang dipulangkan termasuk 30 tan beras dan barang keperluan asas
- Kerajaan Medan mematuhi dasar Kerajaan Pusat demi keselamatan dan selaras dengan kepentingan nasional
- Presiden Indonesia menyatakan negara masih mampu mengendalikan situasi bencana sendiri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

